PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melakukan khianat dengan menyembur cat hitam ke beberapa buah patung dan lantai di Gereja St Anne di Jalan Kulim, di sini dalam kejadian pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, polis telah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam gereja itu dan berjaya mengenal pasti lelaki berkenaan dipercayai berusia 40-an.

“Usaha mengesan lelaki dipercayai penduduk tempatan itu giat dijalankan dan berdasarkan rakaman CCTV yang terdapat dalam gereja itu, polis percaya suspek mempunyai masalah mental berdasarkan kelakuannya yang marahkan patung-patung yang terdapat dalam rumah ibadat tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, seorang pekerja di situ memaklumkan kepada pengurus keselamatan di gereja berkenaan berhubung tindakan seorang lelaki yang menyembur cat hitam ke atas patung dan lantai di bahagian dalam serta luar rumah ibadat tersebut.

Menurutnya, pengurus keselamatan itu terus pergi ke tempat lelaki tersebut menyembur cat dan bertanya kenapa dia berbuat demikian sebelum suspek memarahi pekerja serta pengurus keselamatan berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata, suspek kemudiannya meminta pen daripada pengurus keselamatan itu sebelum dia menulis sesuatu di atas sekeping kertas yang dibawanya dan menyerahkan kepada lelaki tersebut.

“Suspek kemudiannya terus beredar dari gereja itu dengan menaiki sebuah motosikal yang diletakkan di perkarangan rumah ibadat itu,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal daripada pekerja dan pengurus keselamatan itu, mereka tidak mengenali lelaki berkenaan, malah dia juga dipercayai tidak pernah datang ke rumah ibadat itu sebelum ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette