Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 07 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan ucapan dasarnya hari ini memulakan ucapan itu dengan meminta maaf kepada semua ahli parti ekoran beberapa insiden yang berlaku semalam.

Beliau dengan nada tegas menyesali tindakan ganas yang dilakukan beberapa pihak semasa Kongres AMK berhenti rehat, tengahari semalam.

“Saya minta maaf kerana kekacauan yang berlaku semalam.

“Bagaimanapun perkara itu kini dalam siasatan polis. Saya berharap tiada pihak buat sebarang tindakan terburu-buru,” katanya dalam ucapan Dasar Presiden, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Hadir sama dalam program itu adalah Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan Naib Presiden antaranya Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin bersama-sama Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Perjalanan Kongres Nasional PKR hari ini berjalan lancar sebaik Anwar, Wan Azizah memasuki dewan bagi merasmikan kongres itu hari ini.

Lebih 3,000 perwakilan hadir pada hari ini dengan kehadiran tetamu khas daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) iaitu Ketua Pemudanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai. – MalaysiaGazette