KUALA LUMPUR – Sejarah baru dilakar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila pilihan raya kampus (PRK) bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti ini buat julung kalinya diuruskan sepenuhnya oleh sebuah ‘suruhanjaya’ pelajarnya.

Suruhanjaya yang dinamakan Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (CEC) tersebut dianggotai seramai 33 pelajar terpilih yang turut melibatkan pelajar antarabangsa dari India dan Pakistan bagi mengurus dan memantau perjalanan pilihan raya ini.

Menariknya, berbanding kebanyakan universiti awam di negara ini, UTM membenarkan pelajar antarabangsa dan juga Pasca Ijazah (peringkat Doktor Falsafah dan Sarjana) bukan sahaja mengundi, malah layak bertanding sebagai calon di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Selain mendapat panduan dan bimbingan dari universiti, CEC yang dibantu oleh 200 orang sekretariat ini turut mendapat pendedahan serta simulasi melalui sesi latihan teori di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Putrajaya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof Dr Durrishah Idrus berkata pelantikan pelajar sebagai CEC selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia agar tatacara PRK disemak semula bagi memberi laluan kepada pelajar untuk mengendalikan PRK secara telus dan bebas mengikut acuan kepimpinan mereka.

“CEC diamanahkan dengan tanggungjawab untuk melaksanakan reformasi terhadap peraturan pilihan raya serta mengendalikannya dengan objektif ‘semak dan imbang’ bagi pihak universiti sendiri.

“Kita dapat lihat kejayaan CEC menganjurkan PRK ini membuktikan pelajar dan anak muda sudah pun bersedia untuk menanggung tanggungjawab yang lebih berat. Oleh itu amatlah wajar sekiranya pelajar ini diberi kepercayaan yang lebih tinggi terutamanya dalam pengurusan universiti untuk pembangunan insaniah dan pembentukan jati diri pelajar yang terbaik,” kata beliau.

Bagi PRK sesi pengajian akademik sesi 2019/2020 UTM ini, sebanyak 36 kerusi dipertandingkan untuk direbut oleh calon mahasiswa UTM bagi menempatkan diri menjadi ahli MPP.

Dari jumlah kerusi tersebut, 9 kerusi umum dipertandingkan iaitu 7 di UTM Kampus Johor Bahru dan 2 di UTM Kampus Kuala Lumpur manakala 27 kerusi fakulti/sekolah melibatkan 21 di UTM Kampus Johor Bahru dan 6 di UTM Kampus Kuala Lumpur.

Sesi pengundian dimulakan seawal jam 9 pagi melibatkan 23,032 orang pelajar di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur dan ditutup jam 5 petang manakala keputusan diumumkan jam 10 malam.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan pertandingan tiga penjuru pasukan atau parti utama iaitu Identiti Mahasiswa (IM), Aliansi Mahasiswa Progresif (AMPro) dan Bebas.

Dalam semua kerusi yang dipertandingkan, Identiti Mahasiswa (IM) telah mencatat kemenangan sulung bergaya dengan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan, iaitu 5 Kerusi Umum dan 8 Kerusi Sekolah/Fakulti.

Pemenang undian tertinggi, Mohammad Saiful Faez  Ishak yang memenangi Kerusi Umum berkata, dalam masa terdekat ini, IM akan menyusun semula pentadbiran serta pengurusan pelajar dan memperhalusi pelbagai isu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar yang telah memilih mereka.

Beliau meraih 6,043 undi dari jumlah keseluruhan 43, 623 undi kerusi umum di UTM Kampus Johor Bahru. – MalaysiaGazette