Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sambil diiringi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahudin Ayub (lima kiri) bersama Ahli Majlis Tertinggi Amanah bergambar sambil mengangkat tangan turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari (empat kanan) dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga kanan) pada majlis perasmian sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Penyandang Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu hari ini berjaya mempertahankan jawatan nombor satu dalam parti itu bagi sesi 2019-2022.

Perkara itu diumumkan oleh bekas Speaker Amanah penggal lalu, Onn Jaafar pada hari kedua Konvenysen Nasional 2019 Amanah di Pusat Konvensyen Darul Ehsan (IDCC), hari ini.

Sementara itu, bagi Timbalan Presiden Amanah pula, penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pula berjaya mempertahankan jawatan itu.

Bagaimanapun bagi barisan Naib Presiden Amanah pula, berlaku kejutan apabila Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dipilih mendahului penyandang sebelum ini.

Selain Mahfuz, kedudukan jawatan Naib Presiden berjaya dipertahankan dua penyandang sebelum ini iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Semalam, keputusan pemilihan Amanah yang ditutup tepat jam 10.30 malam semalam menyaksikan hampir keseluruhan penyandang ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional sedia ada berjaya mengekalkan kedudukan dalam parti itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad melakukan kejutan apabila mendahului senarai 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang terpilih malam ini dengan meraih 786 undi.

Keputusan itu juga menyaksikan jumlah undi yang diperolehi Khalid telah mengatasi jumlah undi yang diraih Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dengan 681 undi di tangga ketujuh.

Menerusi keputusan itu juga, hampir semua menteri dan timbalan menteri berjaya memenangi jawatankuasa pusat itu melainkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir yang tewas melalui pencalonan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.