Antara barangan yang dijadikan bukti dalam kes penyeludupan Pengarah Presiden Garuda Indonesia, Ari Askhara.

JAKARTA- Pemecatan Pengarah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan Garuda Indonesia, Ari Askhara telah disambut gembira oleh banyak pihak.

Kesatuan Kru Kabin Garuda Indonesia (Ikagi) mengucapkan terima kasih kepada Menteri Badan Usaha Milik Negara (SOE), Eric Thohir kerana melucutkan jawatan Ari susulan tuduhan kes penyeludupan motosikal berkuasa besar, Harley-Davidson.

“Kami sangat menghargai keputusan Menteri Erick Thohir untuk memecat Ari Akshara dan kami juga menyokong maklum balas pantas yang diberikan oleh Pak Erick berhubung kes tersebut.

“Semasa pentadbiran Ari selaku Pengarah Presiden Garuda Indonesia,beliau selalu kontroversi dan ini membimbangkan penumpang dan pekerja,” kata pengerusinya, Zaenal Muttaqin dalam satu sidang media di sini.

Keputusan SOE untuk memecat Ari selepas 15 bulan dilantik menerajui syarikat penerbangan itu menerima sokongan oleh pelbagai pihak yang selama ini bimbang dengan reputasi syarikat tersebut.

Ari mendapati telah menyeludup motosikal Harley-Davidson dan barangan lain menggunakan pesawat Garuda.

Pejabat SOE dibanjiri bunga dan papan tanda sebagai sokongan terhadap keputusan berkenaan.

Menurut Zaenal, tuduhan kes penyeludupan itu bukan kontroversi pertama yang melanda bekas bosnya itu.

Antara tuduhan lain yang terpalit dengan nama Ari adalah memanipulasi laporan kewangan 2018, menghukum kakitangan tanpa alasan yang jelas dan profesional, memaksa kru kabin bekerja lebih masa tanpa waktu rehat yang betul serta menukar laluan penerbangan sehingga menyebabkan kru terpaksa bekerja lebih masa.

Ari juga menubuhkan satu lagi kesatuan kru kabin bagi menentang kesatuan sedia ada, kata Zaenal.

“Bagi penerbangan jarak jauh, kami tidak boleh bermalam sebaliknya syarikat hanya memberikan tempoh beberapa jam untuk transit,” katanya sambil menambah, dasar tersebut menyebabkan ramai kru kabin mengalami kepenatan melampau.

Tambahnya, dengan pemecatan Ari, Garuda Indonesia akan dipimpin oleh seorang tokoh yang profesional, mempunyai hala tuju perniagaan dan bertanggung jawab.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast