KUALA LUMPUR- Jemaah Menteri pada 8 November lalu meluluskan cadangan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berkata, projek oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) itu dijangka mengambil masa 48 bulan.

Katanya, fasa pertama pembinaan akan dimulakan tahun dan dijangka siap pada 2027.

“Projek ini menelan kos RM442.30 juta, dibiayai sepenuhnya oleh inisiatif pembiayaan swasta oleh MAHB tanpa melibatkan jaminan Kerajaan.

“Kementerian Pengangkutan menghargai sokongan daripada Kerajaan Negeri Sabah dan MAHB dalam menjayakan projek ini. Kementerian akan terus melibatkan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan memberikan impak positif kepada negeri Sabah dan negara,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, skop projek tersebut membabitkan pembesaran terminal utama bagi menambah kapasiti penumpang kepada 12 juta setahun berbanding sembilan juta sebelum ini.

Ia turut melibatkan pembinaan kawasan parkir bertingkat dan tambahan tujuh ruang parkir pesawat (apron).

Selain itu, jalan raya sekitar lapangan terbang akan ditambah baik dan menggunakan teknologi.

Skop projek juga melibatkan adaptasi teknologi Airport 4.0 dengan mengintegrasikan automasi dan teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan.

Tambah Kementerian Pengangkutan, LTAKK adalah lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast