Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO membidas kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan penularan video murid menyanyikan Negaraku yang diubah ke Bahasa Mandarin baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, alasan yang diberikan untuk memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab adalah tidak munasabah.

Sepatutnya pemahaman adalah dengan mengajar bahasa kebangsaan dengan lebih mendalam bukan mengubahnya.

“Sekiranya ingin memberi maksud, seharusnya bahasa Melayu yang diajar dengan lebih lanjut dan bukannya lagu Negaraku dialih kepada bahasa Mandarin kerana bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.

“Sekiranya anak-anak di Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan maka sesuatu harus dilakukan bagi mengatasi masalah ini dan bukannya mengambil jalan mudah seperti menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa lain.

“Baik sekolah jenis kebangsaan atau sekolah agama sekalipun, penekanan bahasa Melayu harus diutamakan dan bukannya hanya memberi penekanan kepada bahasa ibunda. Tidak salah mengagungkan bahasa ibunda tetapi bukan bererti ia bahasa ibunda dilebihkan daripada bahasa kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan media.

Lantaran itu beliau mendesak KPM menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan tegas kerana perkara ini tidak patut dianggap remeh.

“Wanita UMNO mendesak agar KPM menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas kerana ini bukan perkara yang boleh dianggap mudah.

Menerusi siasatan KPM, video murid menyanyikan lagu Kebangsaan Negaraku yang diubah ke bahasa Mandarin dikatakan tidak dibuat dalam acara rasmi, sebaliknya hanya berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah yang bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab.-MalaysiaGazette