KOTA KINABALU – Bantuan sewajarnya akan disalurkan kepada ahli keluarga empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di New Zealand, pada Jumaat lepas, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai.

Uda, yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah berkata, ia termasuk urusan jenazah empat beranak itu yang dijangka dikebumikan di Christchurch esok.

Beliau berkata, perkara itu juga akan dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah jika peruntukan khas diperlukan bagi membantu ahli keluarga tersebut.

“Saya cuba usahakan seberapa yang boleh daripada peruntukan ADUN, khasnya daripada eKasih yang dapat kita salurkan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga mangsa di Kampung Ulu Putatan di sini, hari ini.

Kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, pada Jumaat lepas itu mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, serta anak kedua mereka, Maisarah Arifah, 13, manakala dua lagi cedera parah.

Bagaimanapun, seorang daripada anak mangsa yang parah, Nur Irfan, 15, yang juga anak sulung pasangan suami isteri itu, disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) hari ini. – Bernama