Datuk Megat Zulkarnain Omardin

NEW CLARK CITY, Filipina – Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, optimis atlet negara mampu mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Beliau mendedahkan beberapa sukan seperti karate-do, memanah, olahraga dan badminton masih berpeluang menambah kutipan emas kontinjen negara dengan baki dua hari pertandingan sehingga Selasa ini (10 Dis).

Megat Zulkarnain, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), pada masa sama turut melaungkan keyakinan beberapa atlet negara akan mencipta kejutan dalam baki dua hari pertandingan.

“Saya tidak boleh berputus asa dan saya orang silat, jadi kita tunggu sampai penghujung (pertandingan Sukan SEA) dan kita mesti lawan dulu.

“Benda masih awal lagi, lagi tiga hari (pertandingan) ada dan saya percaya sukan yang kita boleh harapkan, atlet yang kita rasa boleh buat kejutan, selebihnya kita tengok macam mana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat skuad memanah negara di Clark Parade Grounds dekat sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan menyasarkan kutipan 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa dalam 52 daripada 56 acara pada Sukan SEA 2019.

Sasaran berkenaan diputuskan hasil mesyuarat antara Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan pegawai persatuan sukan kebangsaan pada Perhimpunan Kem Fasa Akhir Atlet Malaysia di Bangi, 21 Nov lepas.

Kontinjen negara diwakili 773 atlet terdiri daripada 447 atlet lelaki dan 326 atlet wanita pada Sukan SEA 2019 yang bermula sejak 24 Nov dan bakal berakhir pada 11 Dis ini di kluster iaitu Manila, Clark dan Subic.

Pencapaian terbaik Malaysia di luar Kuala Lumpur adalah pada edisi 2007 di Korat, Thailand menerusi kutipan 68 emas, 52 perak dan 96 gangsa. – Bernama