Mazlan Aliman
Datuk Mazlan Aliman

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggap sebagai pengkhianat apabila Tun Dr Mahathir Mohamad membenarkan taikun Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mengambil alih kepentingan Felda Global Venture Holding Berhad (FGV).

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mazlan Aliman menegaskan, PH hanya mengundang masalah besar pada PRU15 sekiranya isu FGV tidak diselesaikan dengan segera.

“Hari ini saya telah menulis surat kepada Pengerusi Felda Tan Sri (Mohd) Bakke (Salleh) untuk mempertahankan, jangan sampai kepentingan aset 33.6 peratus milk Felda dilepaskan bagi memberi laluan kepada pihak ketiga untuk mengambil alih kepentingan majoriti dalam FGV.

“Kalau gerakan ini berjaya Kerajaan PH akan dituduh sebagai pengkhianat kepada masyarakat Felda dan kita akan terima akibat sangat buruk dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sesi penggulungan ucapan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional Amanah 2019, di sini, hari ini.

Mazlan juga mendedahkan gerakan dalaman dan usaha terancang daripada pihak ketiga itu telah pun bermula apabila Syed Mokhtar telah menemui Perdana Menteri baru-baru ini.

“Pihak ketiga ini pun sudah berjumpa dengan Dr Mahathir. Saya difahamkan esok lembaga pengarah Felda akan jumpa dengan Perdana Menteri untuk bincang ambil alih kepentingan dalam FGV.

“Saya merayu kepada pihak kerajaan pimpinan Dr Mahathir, jangan sesekali benarkan pihak ketiga ambil alih dan saya menyeru kembalikan tanah FGV kepada Felda,” katanya.

Katanya, kepimpinan kerajaan diingatkan agar tidak melambat-lambatkan pembelaan kepada masyarakat Felda kerana ia masih tidak berubah sejak PH mengambil alih pentadbiran negara.

“Untuk mendapatkan sokongan masyarakat Felda, dan pilihan raya lepas kita dapat atas nama PH 19 kerusi daripada 54 kawasan Felda yang melalui undi Felda inilah penyumbang terbesar PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Saekor PENGKHIANAT cuba menunding jari dan cuba menuduh siapa yang lebih KHIANAT!!!
    PENGKHIANAT yang mengkhianati golongan dan masyarakat sendiri yang mana dia sama sama membesar dan dibesarkan adalah PENGKHIANAT yang jauh Lebih BAHAYA!!!!

Comments are closed.