Caroline Wozniacki akan menggantung raket tenis pada Januari 2020 sebagai memberi fokus kepada mendirikan rumah tangga bersama teman lelakinya David Lee.

LONDON – Bekas ratu tenis nombor satu dunia, Caroline Wozniacki mengumumkan akan bersara selepas Terbuka Australia pada Januari depan.

Jaguh berusia 29 tahun itu kini menduduki ranking ke-27 dunia dan kali terakhir bertanding adalah Terbuka China pada Oktober lalu.

Wozniacki yang mendaftarkan diri dengan program pengajian ijazah pertama di Harvard Business School pada September lalu didiagnos dengan penyakit Rheumatoid Arthritis pada 2018.

Bagaimanapun, warga Denmark itu berkata, persaraannya tidak ada kena mengena dengan kesihatannya.

“Persaraan saya tidak ada sebarang kaitan dengan kesihatan dan ini bukan jalan ‘selamat tinggal’,” katanya secara ringkas.

Dalam status Instagram bekas Juara terbuka Australia 2018 itu berkata, dia merancang untuk memberi tumpuan dalam kehidupan termasuk merancang mendirikan rumah tangga bersama David Lee.

Lee merupakan bekas pemain bola keranjang kelab Golden State Warriors.

Sepanjang karier sebagai pemain tenis, Wozniacki telah menjuarai 30 gelaran WTA sebelum menduduki rangking pertama dunia pada 2010 selain beraksi dalam tiga temasya Olimpik.

“Saya sentiasa cakap pada diri sendiri bahawa apabila tiba masanya, terdapat banyak perkara yang saya berhasrat untuk melakukannya di luar karier tenis.

“Baru-baru ini saya sedar terdapat banyak benda penting dalam kehidupan yang saya perlu capai di luar gelanggang tenis,” ujarnya. – MalaysiaGazette