LONDON – Bekas pengendali Valencia, Marcelino dilaporkan berada di London sekali gus dikaitkan dengan jawatan pengurus baharu bersama Arsenal.

Namun begitu, Marcelino juga turut dikaitkan dengan pasukan Everton.

Goal melaporkan, Arsenal sudah menghubungi Marcelino bagi menemuduga jurulatih itu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Unai Emery.

Superdeporte pula menyatakan Marcelino sudah memberitahu kepada beberapa rakannya bahawa dia ke London kerana hampir pasti mendapat projek baharu.

Arsenal memecat Unai Emery beberapa minggu lalu dan melantik Freddie Ljungberg sebagai pengendali sementara.

Emery dipecat selepas gagal membimbing Arsenal menang sebarang perlawanan dalam tujuh perlawanan dalam semua pertandingan.

Lembaga Pengarah Arsenal juga tidak yakin Unai Emery akan mampu membawa pasukan itu kembali ke persaingan UCL selepas agak tersasar daripada landasan.

Marcelino merupakan jurulatih yang membawa Valencia menjulang Copa Del Rey dan juga membawa mereka mara ke separuh akhir Liga Europa pada musim lalu.

Akibat tidak sehaluan dengan pemilik kelab membuatkan Marcelino hilang jawatan dan peminat Valencia sangat kecewa dengan cara kelab melayan jurulatih yang berjaya memberikan mereka piala.

Sementara itu, Marcelino juga dikatakan lebih berminat untuk mengendalikan Arsenal berbanding dengan Everton.

Arsenal sudah berjanji mereka akan segera melantik pengurus baharu. Antara calon lain yang dikaitkan ialah Mikel Arteta dan Patrick Vieira serta Brendan Rodgers. – MalaysiaGazette