Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan Bank Negara Malaysia (BNM) serta gabenornya ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sedia maklum tentang derma bilion dolar dari Arab Saudi.

Kata Najib ketika perbicaraan SRC International hari ke-61 sebentar tadi, sumbangan itu yang dimasukkan ke dalam akuan peribadinya di Ambank antara 2011 sehingga 2013.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, walaupun tidak dapat dipastikan tarikh yang jelas pertemuan antara beliau dengan Zeti namun Najib tidak ‘lupa’ tentang perbualannya dengan bekas Gabenor itu.

“Zeti sendiri ada memberitahu saya tentang wang derma dari Arab Saudi itu, saya berasa lega kerana beliau sedia maklum tentang perkara tersebut.

“Saya beritahu beliau ketika membuka akaun bank Ambank kerana derma itu akan dimasukan ke dalam akaun itu.

“Saya juga pernah ditunjukkan beberapa surat daripada wakil Raja Abdullah tentang pemberian derma ini. Saya difahamkan kewujudan derma ini dan surat itu dilaporkan kepada pihak bank serta Zeti Aziz secara langsung.

“Ini juga sebenarnya telah membentuk asas kepada kepercayaan saya bahawa sebarang jumlah dalam akaun baharu adalah dana yang boleh saya gunakan atas budi bicara mutlak saya,”  katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Datuk Azlin Alias

Sebelum ini Najib telah mendedahkan dirinya telah menerima derma sebanyak RM3.217 bilion dalam tempoh tiga tahun ke dalam akaun peribadinya.

Jelasnya, kemasukan wang itu dimaklumkan secara berkala oleh bekas Setiausaha Sulitnya, arwah Datuk Azlin Alias, selepas diberitahu oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bagaimanapun Najib mengakui dirinya tidak pasti dengan  secara tepat transaksi kredit akaun 694 dari tahun 2011 hingga 2013 sebaliknya diberitahu secara berkala oleh Azlin mengenai wang yang dimasukkan daripada luar negara dalam mata wang dolar Amerika Syarikat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Dalam pada itu, Najib juga bertegas arwah Azlin adalah seorang pegawai yang memiliki integriti dan terhormat dalam setiap urusan dilakukan olehnya.

Sebaliknya, Najib yakin Azlin sebenarnya telah ditipu dan dimanipulasi oleh Jho Low serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Datuk Nik Faisal Ariff Kamil.

“Saya percaya Azlin telah ditipu oleh Jho Low dan Nik Faisal menggunakan pengaruh mereka dalam bank dan boleh manipulasi perkara untuk kepentingan lanjut bukan sahaja dalam transaksi bank akaun peribadi.

“Tetapi juga hal-hal berkaitan dengan SRC International,” ujarnya.

Perbicaraan bersambung ketika ini. –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.