KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan beberapa perbelanjaan yang sebelum ini telah disensasikan ketika perbicaraan pembelaan SRC International Sdn Bhd membabitkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta berlangsung.

Antaranya ketika bercuti bersama keluarga di Amerika Syarikat (AS) pada 2014, beliau ada berbelanja menggunakan kad kredit untuk membelikan isterinya hadiah hari lahir.

Datin Seri Rosmah Mansor telah di hadiahkan seutas jam tangan mewah di sebuah butik Chanel di Honolulu, Hawaii yang bernilai AS$130,625.00 (RM466,330) pada 22 Disember 2014.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu memberitahu mahkamah tentang perbelanjaan dilakukan menerusi penggunaan kad kredit ketika menetap di Shangri-La Hotel di Bangkok, Thailand ketika sedang bercuti bersama keluaga pada Januari 2015.

Najib menjelaskan transaksi kad kredit di Shangri-La Hotel berjumlah RM120,000 adalah susulan lawatannya di Kota Bharu, Kelantan untuk memeriksa keadaan banjir di negeri itu, sebelum menyambung percutian peribadi di Bangkok.

“Pembayaran RM120,000 di Hotel Shangri-La di Bangkok membabitkan penginapan saya dan kakitangan sokongan yang menemani saya dalam perjalanan ini, termasuk perbelanjaan di luar jangkaan dan yang diperlukan sepanjang perjalanan ini.

“Walaupun perjalanan itu adalah percutian peribadi, saya turut mengambil peluang bertemu rakan sejawat, Prayut Chan-o-Cha untuk membincangkan bagaimana kerajaan Thailand dapat membantu masalah banjir teruk yang kita hadapi.

“Ini adalah hak saya untuk menuntut kembali perbelanjaan daripada kerajaan kerana saya membuat kerja sewaktu percutian, tetapi saya memilih menanggung semua perbelanjaan atas diri sendiri kerana tidak mahu merumitkan perkara mengikut budi bicara saya dengan sewajarnya.

“Saya berpandangan saya berhak menggunakan dana jika saya rasa perlu. Peguam saya menyediakan pecahan jumlah yang digunakan dalam akaun baharu termasuk perbelanjaan kad kredit yang ditanggung dari Ogos 2013 hingga Mac 2015,” katanya ketika membacakan penyataan bersumpah dari kandang saksi.

Sementara itu, Najib mendakwa transaksi kad kredit berjumlah RM3,282,734.16 yang dikenakan di butik barang kemas di De Grisogono di Sardinia, Itali pada 8 Ogos 2014 adalah hadiah untuk bekas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Ahmed Jassim Al Thani iaitu ahli perniagaan berketurunan kerabat Al Thani.

Katanya pembelian dibuat di De Grisogono adalah suatu yang dibenarkan secara diplomatik.

Jelasnya lagi, pembelian barang kemas pada Ogos 2014 sebagai hadiah kepada isteri Sheikh Ahmad iaitu Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie.

“Ramai tahu, Malaysia dan Qatar berkongsi hubungan diplomatik yang menguntungkan. Ia sebagai membalas kemurahan hati Sheikh Ahmed.

“Saya tidak mahu menggunakan dana awam bagi pembelian hadiah ini dan saya fikir memandangkan akaun sudah tersedia, ia wajar untuk menggunakan akaun ini berbanding dana awam.

“Menerusi kepercayaan saya yang telus bahawa dana dalam akaun itu akan dibelanjakan atas budi bicara saya sendiri dan ia akan memberi manfaat kepada Malaysia.

“Sejurus selepas kepulangan kami ke Malaysia, Noor Abdulaziz ada menghantar nota terima kasih kepada isteri saya atas hadiah yang kami sampaikan kepada beliau semasa perjumpaan kami di Sardinia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib juga memberitahu beliau tidak pernah memohon kad kredit tetapi ia ditawarkan oleh pihak bank pada masa pembukaan akaun. – MalaysiaGazette

6 bulan belanja RM3.2 juta , Najib bayar 2 kad kredit dengan akaun Ambank