Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa kali menafikan dakwaan bahawa beliau telah memberi kebenaran kepada Low Taek Jho atau Jho Low untuk mengendalikan akaun bank peribadinya.

Malah dakwa bekas Perdana Menteri itu, beliau amat terkejut apabila mengetahui Ambank berurusan dengan Jho Low, kini dalam buruan, walhal pemberian kuasa bertulis telah diberikan kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Datuk Nik Faisal Ariff Kamil.

Jelas Najib, beliau tidak pernah dimaklumkan tiga pegawai AmBank iaitu Joanna Yu, Daniel Lee dan Krystal Yap dilantik sebagai pengurus perhubungan bagi nombor akaun akaun berakhir 880, 906 dan 898 miliknya.

“Saya tidak boleh jelaskan perkara ini, saya sejujurnya terkejut bahawa pihak bank berurusan dengan Jho Low kerana pemberian bertulis diberikan kepada Nik Faisal. Saya tidak benarkan Jho Low untuk berurusan dengan pihak bank berkenaan dengan akuan saya.

“Saya juga tidak dimaklumkan tentang perkara ini. Jho Low juga telah memilih untuk tidak memberitahu saya tentang penglibatan beliau dalam urusan bank saya.

“Ianya sangat jelas hasil daripada perbicaraan ini dan penemuan dokumen-dokumen bahawa beliau aktif dalam menyembunyikan fakta daripada saya.

“Saya juga tidak tahu dan tidak pernah berurusan dengan Joanna Yu, Daniel dan Krystal bagi akaun peribadi 880, 906 dan 898. Saya juga tidak pernah diberitahu peranan oleh mereka-mereka berurusan dengan akuan saya,”katanya.

Demikian kata Najib ketika disoal oleh peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed ketika pemeriksaan utama dengan Najib membacakan kenyataan melalui kandang saksi.

Najib juga mendedahkan akuan Ambank miliknya yang berakhir dengan nombor 694 ditutup sebelum tiga lagi akaun bank sama berakhir dengan nombor 880, 906 dan 898 dibuka.

Kata Najib lagi, ia dilakukan selepas dicadangkan Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Azlin mencadangkan akaun berbeza dibuka supaya sumbangan derma yang diterima bekas perdana menteri itu dapat diurus dengan lebih baik dan cadangan berkenaan dipersetujui Najib.

Malah dakwa Najib, beliau berniat menghantar semula sejumlah besar dana yang tidak digunakan kepada penderma dan perkara itu dipersetujui Azlin selepas mereka mengadakan perbincangan.

Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu

Sebelum ini, Joanna Yu yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, dalam keterangannya mendakwa Jho Low memberitahunya tiga akaun baharu akan dibuka.

“Saya tidak diberitahu mengenai Jho Low mengarahkan Joanna Yu mendapatkan kelulusan bagi menggunakan nama lain untuk ketiga-tiga akaun.

“Saya tidak tahu dan buku cek yang diterima tidak menunjukkan nama akaun. Saya tidak tahu kenapa pihak bank mengambil arahan daripada seseorang yang tidak diberikan kuasa oleh saya untuk berurusan dengan akaun saya,” jelas Najib lagi.

Perbicaraan sedang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika ini. –MalaysiaGazette

Jho Low manipulasi akaun peribadi Najib?