Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas selesai menonton tayangan khas Ejen Ali The Movie di GSC Pavillion, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mengulas dakwaan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang mendakwa beliau mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung skandal video seks.

“Itu tak payahlah kot. Tak payah tanya,” kata Perdana Menteri sambil tersenyum.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menonton tayangan khas filem Ejen Ali The Movie di GSC Pavillion di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir diminta mengulas dakwaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu bahawa beliau mengarah Presiden PKR itu memecat timbalannya dalam satu pertemuan beberapa bulan lalu.

Semalam, Zuraida dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 mendedahkan mengenai perbualannya bersama Anwar dengan memetik nama Perdana Menteri.

“Dia (Anwar) kata, Mahathir menyuruhnya memecat Azmin.

“Saya kata, kalau suruh pecat Azmin kenapa Tun Mahathir mengeluarkan empat kenyataan, iaitu Azmin tidak perlu cuti, Azmin teruskan bekerja?” kata Zuraida.

Tambah Zuraida, Anwar menjawab: “You tidak tahu Mahathir, dia ‘gini-gini’ (dengan membolak-balikkan tapak tangan),” katanya ketika berucap.

Diminta mengulas tentang filem biografi bertajuk Mahathir The Journey yang mendapat bantahan anaknya Datin Marina, beliau turut enggan mengulas lanjut.

“Itu tak payah komen, berkenaan keluarga terlibat,” katanya ringkas.

Mahathir The Journey yang dilancarkan pada awal bulan lalu menerima kejutan apabila Marina berkata, ia tidak mendapat restu daripada keluarga.

Menurut Marina, keluarganya tidak membenarkan sesiapa pun menceritakan kisah Mahathir kerana berpendapat ia akan memalukan mereka. – MalaysiaGazette