Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyiram air mawar pada pusara bapanya, Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmood di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmud, bapa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang kira-kira pukul 11.15 pagi ini.

Allahyarham berusia 93 tahun meninggal dunia di kediamannya di Taman Nirwana, Ampang pada pukul 2.30 pagi ini kerana sakit tua.

Terdahulu, jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Al-Mustakim, Ampang di sini.

Allahyarham Wan Ismail berkhidmat dengan Jabatan Penerangan Malaysia (1970-1982) dan dipinjamkan ke Majlis Keselamatan Negara sebagai Pengarah Komunikasi Strategik (1983-1993).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail  bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mengaminkan doa di tanah perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2019

Beliau meninggalkan isteri Datin Mariah Khamis, 85, empat anak perempuan termasuk Dr Wan Azizah dan seorang anak lelaki.

Lebih 500 orang turut hadir di tanah perkuburan berkenaan bagi menziarahi jenazah semasa pengebumiannya termasuk Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir turut menziarahi Allahyarham di Masjid Al-Mustakim.

Sementara itu, Dr Wan Azizah menyifatkan pemergian ayahandanya itu kehilangan besar buat negara kerana beliau telah banyak menyumbang bakti dan jasa sejak zaman Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lagi.

“Segala kisah yang dikongsikan ketika beliau berkhidmat dalam kerajaan ketika itu menjadi pedoman buat kami dan saya berharap amal jariah yang dilakukannya akan terus berpanjangan,” kata beliau.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang turut menziarahi Allahyarham pula berkata pengorbanannya tidak akan dapat dilupakan kerana beliau banyak membantu negara ketika zaman komunis satu ketika dahulu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula ketika ditemui merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya pasti keluarganya amat berbangga atas jasa ditaburkan Allahyarham dan semoga Datuk Seri Dr Wan Azizah serta keluarga tabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Yang turut menziarahi Allahyarham ialah Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Ching Tong dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

— BERNAMA