Keadaan rumah kondiminium yang terbakar di Jalan Ibu Kota, Setapak, malam tadi. Foto ihsan: Bomba

KUALA LUMPUR – Penghuni sebuah unit kondominium di Jalan Ibu Kota, Setapak, diselamatkan anggota bomba selepas kediamannya terbakar, tengah malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.12 tengah malam.

“Seramai 16 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak dan BBP Wangsa Maju dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah unit di kondominium berkenaan terbakar yang membabitkan bahagian ruang tamu kediaman terbabit sebelum kebakaran itu berjaya dikawal beberapa minit kemudian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota bomba berjaya membawa keluar penghuni rumah berkenaan iaitu seorang lelaki warga Yaman berusia 30-an.

“Mangsa berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kebakaran itu menyebabkan rumah berkenaan musnah 50 peratus dalam kejadian terbabit. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette