Tan Sri Muhyiddin Yasin

JAKARTA – Malaysia dan Indonesia sedang meneliti pelaksanaan pertukaran banduan bagi kedua-dua negara, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam pertemuan baru-baru ini bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pertukaran (penghantaran) banduan Malaysia dan Indonesia ini dibangkitkan Presiden Jokowi menerusi program pengurusan kepenjaraan kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini dalam rangka lawatan kerjanya ke Indonesia sejak semalam.

Pertukaran banduan itu bermaksud penghantaran pulang banduan kedua-dua negara untuk ditempatkan di penjara di negara masing-masing.

Muhyiddin berkata dalam pertemuannya bersama Menteri Hukum (Undang-undang) dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly, Indonesia bersedia melaksanakan program itu namun perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perundangan.

“(Indonesia) belum ada undang-undang atau punca kuasa untuk melaksanakan program itu dan pegawai- pegawai kementerian berkaitan akan memperhalusi cadangan pelaksanaannya nanti,” kata Muhyiddin.

Ketika ini terdapat 300 rakyat Malaysia di penjara Indonesia, manakala lebih 5,000 rakyat Indonesia ditempatkan di penjara di Malaysia.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.