Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) hari ini mengumumkan pemain import dari Senegal iaitu Babacar Diallo sekaligus melengkapkan kuota pemain import pasukan itu.

Pemain berusia 30 tahun itu akan memakai jersi nombor 5 yang sinonim dengan pemain pertahanan tengah utama pasukan tersebut.

Dia sebelum ini pernah beraksi untuk pasukan di Turki, Finland, Amerika Syarikat dan Austria.

Pasukan terakhirnya sebelum menyertai TFC adalah Kuopion Palloseura (KuPS), kelab yang bersaing dalam liga utama Finland, Veikkausliiga.

Bersama KuPS, pemain yang berketinggian 1.93 meter itu pernah beraksi di pentas Eropah iaitu pusingan kelayakan Liga Europa yang menyaksikan dia muncul penjaring gol dalam saingan tersebut.

Dengan pengalaman yang dimiliki, TFC meletakkan harapan yang tinggi buat pemain yang dipanggil ‘Baba’ itu untuk memimpin bahagian pertahanan dan menjadi watak penting dalam membantu pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain yang memberi kenyataan kepada laman web rasmi kelab memaklumkan, beliau kini akan memberikan tumpuan bersama pasukan dalam membina keserasian antara pemain.

Tujuannya adalah untuk membentuk pasukan yang boleh bermain dalam satu unit dan Baba adalah antara watak penting dalam proses baginya untuk memantapkan semua posisi pasukan. – MalaysiaGazette