Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – Kemenangan cantik MCA dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai di Johor memberi sedikit kelebihan kepada parti itu dalam rundingan pengagihan kerusi Barisan Nasional (BN) yang bakal dijalankan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menjangkakan parti itu akan dapat mempertahankan tiket untuk bertanding di beberapa kawasan campuran yang MCA berpeluang untuk menang, walaupun kerusi berkenaan mempunyai populasi pengundi Melayu yang signifikan.

Dengan keluarnya beberapa parti daripada BN, MCA juga dijangka mendapat lampu hijau untuk bertanding di beberapa kerusi yang ditinggalkan Gerakan.

“Perbincangan tentang pengagihan kerusi akan dijalankan tidak lama lagi. Ia akan bermula di peringkat dalaman MCA sebelum dipanjangkan ke BN,” katanya kepada Oriental Daily.

Beliau juga menjangkakan kerajaan Pakatan Harapan akan mengadakan “pilihan raya kilat” selepas mentadbir selama tiga tahun, yakni tidak akan menunggu sehingga lima tahun.

“Dengan pilihan raya boleh diadakan lebih awal, kami akan menjadikan Jun 2021 sebagai rujukan dalam melakukan persiapan.

“Kami justeru akan melancarkan persiapan pilihan raya secara sepenuhnya,” katanya.

Ditanya mengenai peluang MCA untuk bertanding di Bentong dan Raub di Pahang yang mempunyai pengundi Melayu yang ramai, Sin Woon berkata, peluang kemenangan MCA di dua kerusi Parlimen itu masih cerah.

“Oleh itu, MCA mempunyai peluang yang baik untuk bertanding semula. Kalau tidak, kami boleh bertukar kawasan bertanding dalam rundingan yang akan dijalankan,” katanya.

Tambahnya, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon akan mengetuai jentera pilihan raya MCA dengan tumpuan khusus diberi kepada kerusi yang berpeluang ditembusi parti.

Sin Woon bagaimanapun mengakui sebagai parti pembangkang, calon MCA akan berdepan banyak liku untuk memenangi mana-mana kerusi.

“Sesetengah pemimpin sudah hilang minat untuk bertanding kerana mereka perlu mencari dana sendiri untuk berkempen,” katanya mengulas pertanyaan kemungkinan berlaku perebutan untuk menjadi calon.

Berbanding dua kerusi Parlimen yang ada sekarang, Sin Woon yakin MCA boleh mencapai keputusan lebih baik dalam pilihan raya akan datang.

“Walau bagaimanapun, keadaan politik boleh berubah pada bila-bila masa.

“Jika Perdana Menteri (PM) baharu dilantik, kesan PM baharu mungkin memberi impak dan kami perlu menilai semula situasinya,” kata Sin Woon. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.