Seorang sarjan tentera antara lapan lelaki Orang Asli yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki enam tahun lalu.
Gambar hiasan

WASHINGTON – Seorang Hakim Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menghalang usaha Presiden Donald Trump untuk memindahkan sebanyak AS$3.6 bilion dana tentera untuk membina tembok di sempadan AS.-Mexico.

Dalam keterangan 21 muka surat, Hakim Mahkamah Daerah AS yang berpangkalan di Texas, David Briones mengeluarkan injunksi yang melarang pentadbiran Trump menggunakan dana itu untuk projek tersebut.

Keputusan itu adalah satu percubaan menghalang Trump yang berikrar mahu membina tembok batu sejauh 450 batu di sepanjang sempadan menjelang November 2020, apabila pilihan raya Presiden AS akan berlangsung.

Trump telah mempertahankan keperluan pembinaan tembok itu untuk menghalang kemasukan pendatang haram ke AS.

Projek itu merupakan antara tumpuan utamanya ketika kempen menjadi calon presiden.

Demokrat di Kongres telah mengkritik projek itu sebagai membazir dan tidak berkesan.

Mereka juga menuduh Trump menggunakan berbilion dolar wang pembayar cukai AS. untuk membina tembok sedangkan semasa kempennya Trump berjanji kos tersebut ditanggung Mexico.

Mahkamah Agung memutuskan pada bulan Julai lalu bahawa pentadbiran Trump boleh mengakses dana sebanyak AS$2.5 bilion dari dana counter narkotik untuk membayar pembinaan dinding sementara menunggu rayuan berkaitan.

Keputusan itu dilihat sebagai kemenangan besar untuk Trump.

Pemangku Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Chad Wolf semasa sidang akhbar pada 20 November di El Paso, Texas, berkata, tembok sepanjang 83 kilometer di sempadan telah dibina di bawah Trump.

Beliau berkata, tembok lain sepanjang 153 kilometer di sempadan sedang dalam pembinaan.

“Presiden Trump sangat jelas. Kami akan bina tembok dan beliau menunaikan janjinya,” kata Wolf. – MalaysiaGazette