Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KLANG – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak terkeliru dengan fakta sejarah berkaitan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan mengagung-agungkan pemimpin mereka.

Titah baginda, perjuangan PKM tidak berlandaskan kepada konsep pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka berteraskan demokrasi Raja Berpelembagaan walaupun dikatakan turut menentang penjajahan.

“Fakta perjuangan ideologi PKM ini merupakan satu fakta sejarah yang perlu rakyat generasi sekarang memahaminya dengan mendalam agar kita tidak terpesong dengan fakta-fakta yang mengelirukan tentang perjuangan mereka,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraannya Yang ke-74 di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Seramai 91 individu menerima darjah dan bintang kebesaran Selangor pada istiadat berkenaan.

Sultan Sharafuddin bertitah melalui fakta sejarah juga rakyat dapat menghargai pengorbanan yang begitu besar yang telah dilakukan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan negara sama ada pasukan Polis Diraja Malaysia atau pasukan tentera terutamanya ketika negara diancam dengan ancaman PKM pada sekitar tahun 40an hingga 70an.

“Begitu ramai pasukan keselamatan kita yang telah terkorban di dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negara dari anasir komunis ini, ramai rakyat negara ini yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain juga turut terkorban akibat serangan pengganas komunis, kehidupan rakyat pada ketika itu sentiasa di dalam ketakutan akibat serangan yang dilakukan oleh anggota PKM ini dan banyak perkampungan dan balai polis telah diserang, rakyat dan anggota polis dibunuh dan diseksa oleh anggota PKM ini,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menasihati pemimpin-pemimpin politik di Selangor agar sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat dan menjadikan kepentingan rakyat sebagai satu keutamaan dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Sejak kebelakangan ini rakyat menderita dengan kesempitan hidup akibat daripada kenaikan harga barangan dan kos kehidupan yang semakin meningkat dari hari ke hari.

“Beta menyeru kepada pemimpin politik ini untuk turun bersama rakyat bagi melihat masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mereka terutama mereka yang berpendapatan rendah dan miskin,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyeru agar rakyat Selangor terus menjalinkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain dan sentiasa memelihara sensitiviti kaum dan tidak mencampuri urusan sesuatu kaum yang lain khususnya apabila melibatkan isu-isu keagamaan.

“Keharmonian akan sentiasa terpelihara sekiranya rakyat yang menganut pelbagai agama ini tidak mencampuri urusan agama penganut agama yang lain.

“Janganlah perpaduan yang telah kita bina bersama sejak sekian lama ini kita runtuhkan hanya kerana kita mempunyai perasaan syak wasangka antara satu sama lain dan hilang rasa hormat sesama kita yang berlainan agama dan bangsa ini,” titah baginda.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Ampun Tuanku.

    Patik tertarik dengan titah Tuanku yg berkaitan dengan isu “pemujaan” sesetengah pihak terhadap perjuangan anggota komunis di masa lalu.

    Patik berasa hairan …..mengapa parti DAP tidak menytakan pendirian yang jelas terhadap perjuangan pengganas komunis di masa lalu setelah beberapa peristiwa & isu mengenainya menjadi “hangat” sekarang ini – seperti kemasukan abu mayat ketua penganas dari Thailand dan ditabur di merata tempat di negara ini, majlis sambutan ulang tahun tarikh “pendamaian Hat Yai” yang dikatakan dihadiri oleh beberapa pemimpin DAP, penerbitan komik yg dikatakan “mendewa2kan” perjuangan komunis dan sebagainya.

    Adakah ini bagi menjaga hati pemimpin2 DAP yg dikatakan mempunyai tali persaudaraan dgn penganas2 tersebut, atau adakah DAP menyokong perjuangannya sebagaimana tomohan natizen di media2 sosial.

    Pada pandangan patik adalah wajar bagi DAP membuat pendirian mengenainya untuk menjadi sesuatu yang jelas kepada rakyat dan negara buat masa kini dan buat masa2 akan datang.

    Patik merasa sangat terkesan dengan keperihatinan Tuanku di dalam perkara ini.

    Selamat menyambut ulang tahun tarikh keputeraan Tuanku, didoakan agar Allah SWT sentiasa meanugerahkan rahmat Kebawah Duli Tuanku dan kerabat keseluruhannya.

    Dirgahayu Tuanku.

    Ampun Tuanku.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.