Lewis Hamilton. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2019.

LONDON – Juara dunia enam kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton bermain teka teki pasukan akan diwakilinya pada musim 2021 setelah dikaitkan dengan Ferrari.

Pelumba Mercedes Petronas itu berkata, adalah lebih baik berliau bersikap terbuka dan mengambil pendekatan lebih bijak dalam menentukan pasukan yang bakal disertainya pada 2021.

Pelumba berusia 34 tahun itu mempunyai baki kontrak setahun dengan Mercedes.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini Hamilton dikaitkan dengan penghijrahan ke Ferrari.

“Saya gembira dengan kedudukan semasa, jadi sudah pasti ia tidak akan menjadi keputusan terburu-buru untuk melakukan sesuatu yang lain.

“Jadi yang bijak adalah duduk dan fikirkan tentang apa yang saya perlukan sebenarnya sekiranya ini (Mercedes) adalah fasa terakhir karier saya,” katanya.

Hamilton enggan mengesahkan atau menafikan laporan mengenai pertemuan berganda dengan Pengerusi Skuderia Ferrari, John Elkann tahun ini.

Bagaimanapun dia hanya membalas: “Apa jua yang kamu lakukan di belakang tabir adalah peribadi, tidak kisah sesiapapun kamu bertemu secata tertutup,” katanya.

Namun dia bertegas, tidak pernah memikirkan untuk meninggalkan Mercedes sejak menyertai pasukan itu pada 2013.

Setakat ini Hamilton telah menjuarai lima gelaran dunia F1 bersama Mercedes termasuk musim ini, manakala gelaran pertama hadir bersama McLaren pada 2008.

“Untuk bertahun lama saya tidak pernah memikirkan tentang pilihan lain,” katanya.

Hamilton hanya memerlukan satu lagi gelaran untuk menyamai rekod kejayaan F1 yang dimiliki lagenda Ferrari, Michael Schumacher yang bergelar juara dunia sebanyak tujuh kali sepanjang kariernya. – MalaysiaGazette