PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MoF) sedang berganding bahu dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memasukkan mata pelajaran Literasi Kewangan sebagai subjek pembelajaran.

Bukan sahaja penerapan itu dilakukan diperingkat sekolah malah ia juga turut diperluaskan di luar bilik darjah, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurutnya, warga emas dan juga masyarakat umum perlu dididik dengan pengetahuan itu kerana perkara yang melibatkan kewangan wajar diketahui oleh segenap lapisan masyarakat.

“Ini sedang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan. Saya yakin Kementerian Pendidikan akan mempertingkatkan usaha ini.

“Untuk Kementerian Kewangan, kita buat secara am kerana bukan sahaja peringkat sekolah tapi juga di luar sekolah.

“Itulah sebabnya kita akan teruskan usaha ini bukan sahaja untuk pelajar-pelajar tapi juga untuk warga emas dan juga untuk masyarakat secara umummnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Guan Eng ditanya mengenai laporan media semalam apabila kajian Bank Dunia menunjukkan bahawa golongan millennial yang merujuk kepada golongan muda berumur 25 hingga 44 tahun di negara ini mencatat peningkatan membimbangkan dalam jumlah individu yang diisytihar muflis.

Laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia, menganggarkan sejumlah 60 peratus daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia adalah dari golongan berkenaan, ekoran daripada tabiat berbelanja melebihi pendapatan.

Tabiat berkenaan disifatkan berbahaya kepada golongan millennial jika dibiarkan berterusan tanpa pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan.

Dalam sidang media itu, Guan Eng mengumumkan penganjuran Festival Putrajaya LIFT (Literasi Dalam Teknologi Kewangan) 2019 yang akan berlangsung dari 28 hingga 29 Disember ini.

Festival itu merupakan sebuah program bermatlamatkan pemerkasaan kecelikan kewangan dan membina masyarakat digital Malaysia.

Ia adalah sejajar dengan teras Belanjawan 2020 untuk memacu pertumbuhan ekonomi dalam ekonoimi baharu dan era digital.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, langkah yang sedang dilakukan oleh Kementerian Kewangan itu bukan sahaja memberi faedah kepada satu atau dua golongan sahaja sebaliknya, ia memberi impak kepada keseluruhan masyarakat di negara ini.

Ujarnya, perkara itu dapat dicapai kerana sekiranya kerajaan dapat menambahkan penglibatan masyarakat terhadap langkah tersebut ia sudah pasti akan menguntungkan Malaysia. – MalaysiaGazette