Tun S.Samy Vellu

IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan bulan depan untuk mendengar permohonan perintah interim seorang wanita yang mendakwa isteri kepada bekas Presiden MIC, Tan Sri S. Samy Vellu.

Meeriam Rosaline Edward Paul, 59, memfailkan permohonan interim di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Mac lalu bagi mendapatkan akses tanpa syarat ke atas Samy Vellu selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah bayaran nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan.

Peguam R.S.N Rayer dan Ramesh Sivakumar yang mewakili Meeriam memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hashim Hamzah.

Menurut Rayer, hakim menetapkan 17 Jan depan kerana prosiding saman oleh Datuk Seri S. Vell Paari terhadap ayahnya yang juga bekas Menteri Kerja Raya akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Dis ini.

Pada 2 Dis lalu, Vell Paari memfailkan saman terhadap bapanya untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya siasatan dilakukan bagi menentukan sama ada bekas Presiden MIC itu mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya untuk menguruskan diri serta hal ehwalnya.

Sementara itu, Ramesh berkata Meeriam dan Samy Vellu telah berkahwin secara adat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 1981.

Katanya perkahwinan itu adalah sah mengikut undang-undang kerana ia berlangsung sebelum tahun 1982 yang mewajibkan semua perkahwinan bagi bukan Islam didaftarkan.

Dalam pada itu, Meeriam berkata beliau menuntut bayaran nafkah RM25,000 setiap bulan untuk keperluan diri selain perlu membiayai bayaran gaji pembantu rumah serta kos penyelenggaraan kediaman yang dihadiahkan Samy Vellu kepadanya.

Beliau juga memaklumkan kali terakhir berjumpa dengan Samy Vellu adalah enam bulan lepas di Kuala Lumpur dan mendakwa bekas Presiden MIC tersebut berada dalam keadaan baik termasuk dari segi mental.

“Saya berjumpa dengannya kira-kira sejam dan dia menasihati saya supaya jangan risau, jangan datang ke Kuala Lumpur, dia (Samy Vellu) yang akan datang ke Ipoh,” katanya.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.