Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia berkata sepasukan pegawainya telah menaiki kapal tangki, Viet Tin 01, pada 8 Disember lalu dan mendapati kapal tersebut telah menjatuhkan sauhnya tanpa kebenaran di perairan Johor. foto: Facebook Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.

KUALA LUMPUR – Malaysia merampas sebuah kapal tangki yang telah melawat Korea Utara pada Februari lalu seperti dilaporkan Reuters selepas kapal tersebut didapati hanyut di pantai Malaysia, kata para pegawai agensi maritim.

Data perkapalan Refinity yang dipetik Reuters menunjukkan kapal Viet Tin 01 tiba di luar dermaga Nampo, pantai barat Korea Utara pada 25 Februari lalu dengan membawa 2,000 tan petrol, sebaik sahaja sebelum rundingan antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden Amerika Syarikar (AS), Donald Trump diadakan di Hanoi.

Adalah tidak jelas samada kapal tangki itu memunggah kargo di Nampo.

Di bawah sekatan yang dikenakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, import minyak mentah dan produk petroleum ditapis Korea Utara dihadkan.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (MMEA) berkata, sepasukan pegawai telah menaiki kapal tangki itu pada Ahad lalu dan mendapati kapal tersebut telah menjatuhkan sauh tanpa kebenaran di perairan Johor.

“Terdahulu, kapal agensi itu cuba menghubungi kapal tangki tersebut melalui radio dan pembesar suara tetapi tiada maklum balas diterima.

“Kapal itu disyaki telah ditinggalkan,” kata Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid dalam laman Facebook agensi tersebut.

 Agensi itu berkata, hanya seorang individu berada di atas kapal tersebut iaitu ketua jurutera warga Vietnam berusia 61 tahun yang menyatakan kapal berkenaan telah hanyut daripada kedudukan asalnya.

Krew tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut, kata Aminuddin yang tidak mendedahkan samada kapal berkenaan disiasat kerana mempunyai hubungan dengan Korea Utara.

Seorang jurucakap MMEA berkata, kini pihak berkuasa sedang menunggu pemilik untuk menuntut kapal itu. Beliau enggan mengulas lanjut.

Panggilan yang dibuat kepada pemilik berdaftar Viet Tin 01, Viet Trust Shipping Corp yang berpangkalan di Bandar Raya Ho Chi Minh tidak dijawab.

Sejak Februari, kapal tersebut telah berlabuh di persisir pantai China, pada mulanya di Shidao diikuti Shanghai sebelum berhenti menghantar data lokasi daripada sistem pengenalan automatik (AIS) antara 20 Mac hingga 9 Julai lalu seperti yang ditunjukkan oleh data perkapalan. – Agensi