Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) 2019, Mohd Akmal Hazieq mencukur rambutnya dihadapan kumpulan mahasiswa yang hadir pada Himpunan Awam Mahasiswa Tuntut Jaminan Kebajikan di bangunan Canseleri Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Lebih 100 mahasiswa Universiti Malaya (UM) berhimpun mendesak pentadbiran Canseleri UM melaksanakan 13 kebajikan mahasiswa di kampus.

Perhimpunan aman yang dianjurkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) pada pukul 2 petang hingga 5 petang itu dihadiri presidennya, Mohd Akmal Haziq Ahmad Rumaizi yang  disokong tujuh kesatuan mahasiswa.

Mohd Akmal berkata, perhimpunan aman berkenaan bertujuan menuntut jaminan kebajikan daripada pertadbiran UM yang mana isu-isu mahasiswa yang diketengahkan, 13 tuntutan kebajikan asas, berulang bertahun-tahun tanpa penyelesaian.

“Setiap kali pimpinan sebelum ini dan pimpinan saya kini telah mengadakan beberapa siri pertemuan, perbincangan dengan pentadbiran universiti namun alasan yang diterima setiap kali adalah kononnya tidak mempunyai peruntukan kewangan yang cukup dan sebagainya.

“Kami sejak kepimpinan turun naik jumpa Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan dan Ahli-ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fahmy Fadzil dan Maria Chin supaya kerajaan menaikkan bajet kepada universiti.

“Kita ke peringkat kerajaan tuntut sehinggalah belanjawan 2020 dinaikan bajet sebanyak RM57 juta berbanding tahun lalu dan kami serahkan memorandum kepada pejabat Naib Canselor di Canseleri UM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di pekarangan bangunan Canseleri UM.

Beliau mencukur rambut sebagai solidariti memperjuangkan kebajikan mahasiswa UM.

Tambah Mohd Akmal, daripada 13 tuntutan itu beliau mahu isu perkhidmatan bas kampus, yang memerlukan peruntukan sebanyak RM1.3 juta, dikembalikan.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM1.3 juta itu adalah memadai dan tidak seharusnya menjadi alasan kerana 7,000 pelajar tinggal di luar kampus.

Justeru beliau mahu universiti itu menghentikan program mewah dan mengkaji semula program masa depan dengan mengambil kira pandangan mahasiswa setiap kali merancang perbelanjaan.

“Satu lagi isu besar adalah mahasiswa dan persatuan terpaksa membayar mahal kalau mahu menggunakan kemudahan kampus termasuk Kompleks Perdananan Siswa dan sebagainya.

“Univeristi lain mereka guna fasiliti percuma. Maka pada Januari 2020 akan bawa isu ini kepada perhatian kerajaan dan persoal adakah kerajaan membina universiti untuk pihak pentadbiran mengenakan caj kepada mahasiwa.

“Kalau kerajaan kata bina universiti untuk beri fasiliti percuma untuk mahasiswa, saya akan minta kerajaan mulai Februari 2020 semua fasiliti di dalam UM mesti diberikan secara percuma kepada mahasiswa untuk menganjurkan program dalam kampus,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Akmal mahu kakitangan pentadbiran UM turun padang dan lihat permasalahan mahasiswa yang bergelut dengan masalaha kewangan. – MalaysiaGazette