Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik (atas, tengah) bersama Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Iskandar Mirza Mohd Yusof (atas, kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Zulkifli Md Said (atas, dua kanan) bergambar bersama wakil-wakil media selepas membuat gimik pelancaran #MYtravelmediabuddy pada Majlis Makan Malam Penghargaan Media di Glasshouse at Seputeh, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menjangkakan budaya ‘slow travel’ di negara ini akan menjadi trend terbaru yang melanda negara tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, selepas budaya ‘free and easy’, bebas dan pelancong solo, budaya ini dijangka meningkatkan kadar pelancong sebanyak 20 peratus untuk tahun 2020.

“Menurut laporan Skyscanner, jumlah pelancong yang inginkan budaya melancong lebih lama ini merangkumi 31 peratus warganegara Korea Selatan, 29 peratus Hong Kong, 28 peratus warga Taiwan dan 27 peratus warga Jepun,” katanya.

‘Slow travel’ membawa maksud budaya pelancongan yang menolak idea tradisional dan menggalakkan pelancong meneroka persekitaran dan membuka diri untuk pengalaman baru.

Dalam pada itu, Bakhtiar berkata, laporan itu juga menunjukkan peningkatan minat dalam destinasi di Asia pada tahun 2020 dengan lebih daripada 75 peratus pilihan destinasi yang terletak di rantau ini.

“Data daripada Amadeus menunjukkan bahawa pertumbuhan tertinggi dalam pencarian dalam talian untuk perjalanan ke Malaysia, adalah dari Korea, Indonesia, China, Thailand dan Singapura.

“Amerika Syarikat dan United Kingdom juga berada di kedudukan atas senarai jumlah carian, di masing-masing pasaran keempat dan kelima, selepas China, Korea dan Singapura,” katanya.

Ke arah itu, Bakhtiar berkata, kementerian di bawah Datuk Mohamaddin Ketapi akan memulakan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 secara besar besaran.

“Saya mengambil kesempatan ini secara rasmi menjemput anda untuk mengambil bahagian dalam mengalu-alukan Tahun Baru dan Sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Disember,” katanya lagi. -MalaysiaGazette