Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo

GEORGE TOWN – Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan bermula pada bulan Mac tahun depan, dan ia dijangka siap pada 2024, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Beliau berkata, projek pembesaran yang dianggar bernilai RM800 juta itu telah diluluskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semasa mesyuarat akhir Unit Pusat Setempat (OSC) pada 3 Dis lepas.

“Berkaitan dengan pelan indikator tenggara berhubung penambakan sebuah pulau di luar Batu Maung, saya ingin menyatakan bahawa ia adalah pelan petunjuk pertama kemungkinan lokasi lapangan terbang baharu. Walaupun dalam Rancangan Struktur Negeri ideanya ada lapangan terbang di situ, namun ia kini secara teknikal, didapati tidak bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Kami tidak perlukannya lagi. Dalam apa jua keadaan, perlu diambil maklum bahawa kita akan meneruskan projek pembesaran di tapak LTAPP yang telah diluluskan oleh MBPP pada 3 Dis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek pembesaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat fasa yang terdiri daripada lima pakej pembinaan.

Jagdeep berkata, fasa 1 melibatkan pembinaan laluan pesawat di lapangan terbang dan kerja-kerja pembinaan infrastruktur, manakala fasa 2 merangkumi perobohan dan pembinaan semula pondok pengawal, bangunan kawalan trafik udara, bangunan jabatan meteorologi, stesen peti kelengkapan elektrik, bangunan penyimpanan sisa terbuang, Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang serta bangunan Unit Kecemasan Udara.

“Fasa tiga pula akan melibatkan cadangan tambahan dan pindaan bangunan terminal utama tiga tingkat dan kerja infrastruktur manakala fasa 4 membabitkan satu unit bangunan bengkel,” katanya.

Sementara itu, perunding projek, Datuk Abu Hassan Salleh yang turut hadir pada sidang media berkata pembesaran LTAPP akan menambah dua kali ganda keluasan terminal berbanding keluasan 54,000 meter persegi ketika ini.

“Kebanyakan kerja-kerja pembesaran akan ke arah utara. Jadi, kawasan terminal sedia ada kita akan ‘sentuh’ pada fasa akhir pembinaan, ia tidak akan mengganggu perjalanan penumpang. Pembesaran lapangan terbang ini akan dapat menampung sehingga 28 pesawat berbanding 15 pesawat sekarang pada satu masa,” katanya.

Tambahnya, projek itu membolehkan LTAPP menampung sehingga 12 juta penumpang berbanding kapasiti semasa iaitu 6.5 juta penumpang ketika ini. – Bernama