Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri supaya tidak menandatangani perjanjian rakan penyampaian projek (PDP) yang baharu dengan SRS Consortium bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Presiden CAP Mohaideen Abdul Kader berkata gesaan itu berikutan PTMP masih diperdebatkan oleh pertubuhan masyarakat sivil (CSO) kerana mereka mendakwa projek berkenaan mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar dan sosioekonomi.

“Beberapa tahun lepas kerajaan negeri telah mengembangkan skop projek PTMP dan untuk merasmikan pelan terbaharu, kerajaan negeri perlu menandatangani perjanjian baharu dengan SRS Consortium. Minggu lepas, Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Datuk Lin Yun Ling dilaporkan berkata bahawa sebaik sahaja perjanjian PDP baharu ditandatangani, kerja reka bentuk boleh dimulakan.

“(Ini bermakna) projek Transit Aliran Ringan (LRT), Pulau A, Pan Island Link dan kerja tambak laut di Selatan Pulau Pinang akan dijalankan. Penang Forum dan beberapa ahli akademik telah menjelaskan kepada kerajaan negeri bahawa terdapat pilihan yang lebih berdaya maju, baik dan murah bagi PTMP. Pilihan alternatif ini tidak memerlukan pembinaan jalan, lebuh raya baharu atau LRT,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata pilihan alternatif yang dicadangkan oleh CSO menggabungkan rangkaian yang lebih baik antaranya Autonomous Rail Transit (ART) dan Bas Rapid Transit (BRT) yang disokong oleh sistem ‘feeder’ bagi menangani hubungan pertama dan terakhir.

Mohaideen berkata CAP juga telah menghantar surat kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow memohon supaya mempertimbangkan dengan serius pilihan alternatif berkenaan, namun kerajaan negeri masih belum memberikan maklum balas berhubung perkara itu.

“Pihak kerajaan negeri tidak mempertimbangkan pandangan awam, komuniti nelayan dan CSO yang membantah projek tambak laut Selatan Pulau Pinang (PSR). Kami juga telah menyuarakan bantahan ketika pendengaran awam berhubung draf Pelan Struktur Pulau Pinang (RSNPP) 2030 yang termasuk projek Pulau Selatan Pulau Pinang, projek tambak laut lain dan lebuh raya baharu.

“Amat mengecewakan apabila bantahan dan pandangan CAP dan banyak kumpulan lain tidak diambil kira dan kerajaan negeri terus mewartakan RSNPP 2030 pada 24 Okt lalu,” katanya.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri seharusnya melaksanakan penjimatan dengan menyemak semula projek PTMP untuk mengurangkan kos serta mempertimbangkan pilihan alternatif yang lebih murah, baik dan cepat.

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh, di bahagian pulau dan tanah besar.- BERNAMA