Muhammad Jafri Firdaus Chew

KUALA LUMPUR –  Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menjelaskan status penyerang Muhammad Jafri Firdaus Chew yang pernah sebelum ini diumumkan sebagai salah seorang pemain tempatan untuk memperkukuhkan skuad Lang Merah bagi saingan Liga Malaysia 2020.

Naib Presiden 1 KFA merangkap Ketua Unit Liga Super Kedah, Anas Hafiz Mustaffa berkata, KFA terpaksa melupakan hasrat untuk menagih khidmat bekas penyerang PKNS FC itu bagi musim depan atas faktor kecergasan.

“Saya juga mahu memaklumkan mengenai status terkini Muhammad Jafri bin Muhammad Firdaus Chew, pemain yang telah diumumkan sebelum ini antara pemain tempatan baharu KFA.

“Pasukan Liga Super Kedah terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat beliau selepas beliau disahkan tidak cukup cergas untuk memenuhi syarat utama kontrak profesional pemain bola sepak iaitu melepasi ujian kecergasan bersama pasukan yang bakal diwakili pemain itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Anas Hafiz memberitahu, keputusan yang dibuat bukan mudah buat KFA namun keutamaan harus diberikan kepada persiapan sebuah pasukan yang mantap di dalam menongkah cabaran musim depan.

Ini kerana, Kedah akan memulakan aksi sebenar seawal 21 Januari depan di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC.

“Pihak pengurusan mengucapkan agar Muhammad Jafri segera pulih dari kecederaan dan dapat terus menyinar dalam arena bolasepak Malaysia,” katanya.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 22 tahun itu sebelum ini berada di dalam senarai awal skuad Bawah 22 Tahun negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina. – MalaysiaGazette