Muhammad Nawawi dan Phang Li Mi ketika mempromosikan filem Ejen Ali The Movie yang kini sedang dalam tayangan di pawagam seluruh negara

KUALA LUMPUR – Kepakaran graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam bidang teknologi kejuruteraan dan teknologi maklumat serta komunikasi berlatarkan Revolusi Industri 4.0 terus diiktiraf oleh pelbagai sektor industri dalam atau luar negara.

Perkara itu terbukti kompetensinya apabila UTeM terus menzahirkan kecemerlangan dalam bidang berkenaan selepas dua orang alumni Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) berjaya menempa nama di persada dunia produksi filem animasi berprestij Ejen Ali.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, UTeM terus berperanan dan berjaya menghasilkan graduan yang terus menepati kehendak pasaran semasa sekaligus memberi impak positif kepada negara secara khusus dan global amnya.

Katanya, selari dengan itu, kadar kebolehpasaran terus menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dan amat positif apabila UTeM kin berada di tangga ketiga teratas peratusan kebolehpasaran graduan dalam kalangan universiti-universiti awam di negara ini.

“Kejayaan animasi Ejen Ali ini telah berjaya meraih RM13 juta pada minggu pertama tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei secara tidak langsung menyerlahkan pembabitan alumni FTMK UTeM menerusi industri animasi negara.

“Alumni UTeM tersebut adalah Muhammad Nawawi Mohamad Ismail dan Phang Li Mi yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Media Interaktif) dengan kepujian yang telah bergraduat atau menamatkan pengajian di UTeM pada 2017 dan 2016 lalu.

“Mereka berdua merupakan senior 3D Animator di bawah payung seliaan WAU Animation dan telah terlibat secara langsung dalam produksi bagi penghasilan Ejen Ali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Raha berkata, perkara itu jelas membuktikan bahawa konsep pengajaran dan pembelajaran UTeM secara khususnya dalam konteks teknologi maklumat dan komunikasi serta media interaktif amat relevan dan menyerlah dalam bidang yang diceburi oleh kedua-dua graduan itu.

Filem animasi Ejen Ali The Movie menggegarkan pawagam apabila memungut RM13 juta selepas tujuh hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Filem itu bukan sahaja meraih kutipan tertinggi dan mendominasi carta GSC Top 10 Movies selama empat hari berturut-turut, malah menjadi pilihan utama dalam kalangan penggemar filem.

Ejen Ali The Movie pernah mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta, pada hari pertama tayangannya.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mengisahkan Ali, budak berusia 12 tahun yang direkrut menjadi penyiasat bagi sebuah agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ali ditugaskan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut turut menyaksikan filem berkenaan di GSC Pavilion di ibu negara, baru-baru ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.