KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini memberi amaran keras kepada mana-mana kontraktor yang mengambil sikap sambil lewa terhadap keselamatan Lebuhraya Pan Borneo.

Menterinya, Baru Bian menegaskan, beliau akan sentiasa melakukan pemeriksaan dan lawatan secara mengejut bagi memastikan aduan pengguna jalan raya diatasi segera.

“Saya kerap memandu sepanjang Lebuhraya Pan Borneo untuk melakukan pemeriksaan mengejut.

“Ini kerana saya menerima banyak aduan tentang keadaan lebuh raya yang dibina. Saya memahami cabaran dihadapi oleh kontraktor.

“Tetapi saya memberi amaran keras hari ini KKR akan mengawasi semua kerja dengan sangat rapat dan saya tidak akan berkompromi dengan ini,” katanya dalam ciapan di laman Twitter hari ini.

Sabtu lalu, KKR mengarahkan kerja di tapak pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Pakej 11 (WPC-11) di Seksyen Pujut, Miri, dihentikan serta-merta selepas rasuk jejambat runtuh, petang Jumaat.

Menurut Baru, ia bagi menjalankan siasatan lanjut dan mengenal pasti punca kejadian tersebut.

Dalam kejadian pada jam 2.40 petang Jumaat lalu, dua pekerja cedera apabila rasuk jejambat yang masih dalam pembinaan itu runtuh.

Kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, selepas menerima rawatan di hospital.

Dalam pada itu, Baru juga melahirkan saya tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya di lebuh raya berkenaan.

“Saya ingin menekankan bahawa saya tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya.

“Terdapat banyak jalan berlubang dan menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya, terutamanya pada waktu malam ketika penglihatan kurang baik,” ciapnya lagi.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak merangkumi laluan sepanjang 786 Kilometer dari Telok Melano ke Miri dan akan dibina dalam 11 pakej membabitkan pembinaan lebih 100 jambatan. – MalaysiaGazette