Kerajaan memutuskan setiap Jumaat sebagai Hari Jawi.
PETALING JAYA – Jawatankuasa Mengenai Jawi di Kuala Lumpur dan Selangor yang bermesyuarat pada Ahad telah membuat keputusan untuk membawa isu penerapan tulisan Jawi dalam mata pelajaran teras Bahasa Melayu ke mahkamah.

Perkara itu akan dirujuk ke mahkamah atas nama lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa guru (PIBG) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC).

Jawatankuasa itu menegaskan tidak menolak Jawi di sekolah vernakular, tetapi peranan lembaga pengelola sekolah dalam soal itu tidak harus dipinggirkan.
Tulisan Jawi juga dicadangkan menjadi aktiviti kokurikulum dan bukannya dalam mata pelajaran teras Bahasa Melayu.
Jurucakap jawatankuasa itu, Datuk Heng Hong Chai berkata, isu itu akan dibawa ke mahkamah dalam tempoh dua bulan, satu usaha yang juga menandakan bantahan keras terhadap pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Sinchew Daily melaporkan, jawatankuasa itu juga mengumumkan langkah-langkah tertentu termasuk menyeru sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur menggantungkan kain rentang bantahan.

Selain itu, wakil lembaga pengelola dan PIBG diseru supaya mengeluarkan surat rasmi membantah pelaksanaan pelajaran tulisan Jawi.

Dengan permulaan sesi persekolahan baharu, lembaga pengelola sekolah turut diminta memantau pelajaran Bahasa Melayu dan memberi maklum balas segera kepada persatuan lembaga pengelola peringkat negeri.

“Sebelum ini, kami telah membentuk pasukan peguam bersama pertubuhan kaum India  untuk mengkaji sama ada Perlembagaan dan Akta Pendidikan memberi kuasa kepada ibu bapa untuk menerima atau menolak pelajaran tulisan Jawi di sekolah,” kata Hong Chai.

Tambahnya, mengikut Akta Pendidikan 1996, ibu bapa boleh memilih aliran sekolah untuk anak mereka sementara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib di SRJK.

BACA:Empat istilah Jawi yang menakutkan

Katanya, Kementerian Pendidikan tidak boleh memaksa murid belajar bahasa, kandungan atau kemahiran yang bertentangan dengan hasrat walaupun ia dipersetujui majoriti atau 51 peratus ibu bapa ia kerana ia adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

Hong Chai juga menegaskan bahawa tulisan rumi adalah tulisan untuk Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.

Katanya, pihak jawatankuasa juga akan melakukan kajian secara mendalam termasuk jaminan yang diberikan Perlembagaan kepada SRJKC.

Isu pelajaran Jawi timbul semula apabila Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan bahawa pengenalan tulisan Jawi akan diadakan di satu-satu sekolah vernakular jika 51 peratus ibu bapa sekolah tersebut bersetuju dengannya.

Sesetengah pihak bagaimanapun berpendapat peranan lembaga pengelola sekolah telah dipinggirkan dalam isu itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.