Sehubungan itu, MPOCC, sebuah badan pensijilan kelestarian sawit di bawah Kementerian Industri Utama telah membangunkan sistem aplikasi MSPO Trace yang berupaya menjejak sumber minyak sawit di sepanjang rantaian nilai dan dilancarkan pada pertengahan November 2019.

Menurut majlis itu, Malaysia akan dapat membangun dan mengendalikan operasi skim pensijilan minyak sawit kebangsaan yang diiktiraf antarabangsa menggunakan aplikasi tersebut.

“MSPO Trace adalah lebih lengkap dan menyeluruh dari segi mengenal pasti lokasi ladang dan fasiliti pemprosesan minyak sawit yang mendapat pensijilan mampan di Malaysia.

“MPOCC menyasar kebolehjejakan minyak sawit 100 peratus dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga pada peringkat ladang di seluruh negara menjelang 2025,” kata MPOCC dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis pensijilan itu yakin bahawa pembangunan data raya MSPO Trace seperti mana GeoRSPO, dapat memberi keyakinan kepada para pengguna dan pengimport antarabangsa terhadap usaha untuk memastikan kebolehjejakan dan ketelusan dalam rantaian bekalan.

Usaha itu penting dalam menyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa minyak sawit yang dihasilkan Malaysia adalah terjamin dari segi kelestarian dan kualiti, khususnya dalam menangani dakwaan yang mengaitkan produk sawit dengan penebangan hutan, eksploitasi pekerja, pelanggaran hak Orang Asli dan sebagainya.

MPOCC berkata, MSPO Trace boleh dicapai umum dan dimuat turun daripada platform Apps Store dan Google Play.

Menurut majlis itu, sehingga 30 November tahun ini, lebih 3.5 juta hektar atau 60 peratus daripada kawasan ladang sawit telah menerima pensijilan MSPO. Pensijilan ini termasuklah pekebun kecil dengan kawasan tanaman seluas 652,000 hektar dan 1,678 ladang dengan jumlah keseluruhan 2.89 juta hektar.

Sebanyak 152 kilang minyak sawit dan 46 kilang penapis juga telah menerima pensijilan Standard Pensijilan Rantaian Bekalan (SCCS) MSPO.

Sementara itu, MPOCC juga menyambut baik usaha Sekretariat Persidangan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) yang telah menerbitkan peta konsesi sawit ahli-ahlinya bagi Semenanjung Malaysia dan Sarawak melalui aplikasi peta interaktifnya, GeoRSPO.

“Inisiatif MSPO Trace dan GeoRSPO akan membantu negara dalam menggalakkan ketelusan pemetaan kawasan tanaman sawit negara dalam memastikan kelestarian industri sawit dan kebertanggungjawaban sejagat semua pemegang taruh industri sawit negara,” kata majlis itu. – MalaysiaGazette