Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Tindakan dua NGO pro-pembangkang memfailkan writ saman bagi mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil bertentangan dengan Perkara 151(1) Perlembagaan Persekutuan disifatkan oleh DAP sebagai perkembangan yang merbahaya.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, buat pertama kali dalam sejarah tindakan seumpama itu dibuat dengan menamakan Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Katanya, sepanjang 62 tahun iaitu sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, kewujudan sekolah Cina dan Tamil tidak pernah dipersoalkan dan telah menerima dana awam.

“DAP berpandangan perkara ini sebagai perkembangan merbahaya yang boleh menggugat sekolah Cina dan Tamil serta jeopardise perpaduan nasional dan keharmonian masyarakat berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, kata Guan Eng, DAP akan mempertahankan hak kewujudan sekolah Cina dan Tamil di sisi perlembagaan dengan menekankan dalam mesyuarat Kabinet esok bahawa kerajaan mesti mengarahan peguam negara membantah tindaan undang-undang tersebut.

Kata Ahli Parlimen Bagan itu,  dalam masa yang sama DAP juga akan mencelah mengikut perundangan dalam saman tersebut bagi pihak sekolah vernakular dan telah mengarahkan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Ram Karpal untuk bertindak lanjut.

BACA: GPMS, MAPPIM fail writ saman isytihar sekolah vernakular tidak sah

Semalam dua NGO iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) telah memfailkan writ saman dan penyata tuntutan di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SRJK) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pemfailan saman ini adalah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 11 November lalu yang telah menolak permohonan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz bagi mencabar keabsahan kewujudan SRJKC/T di Malaysia.

“Mahkamah memberi alasan permohonan itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi, bukan di Mahkamah Persekutuan,” kata Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil yang mewakili dua NGO itu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bila sentoh saja hal kepentingan kaum cina dap terus melompat, bila pemimpin melayu sentoh kepentingan melayu dap kata rasis..

Comments are closed.