Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendengar penerangan daripada Timbalan Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings, Tan Sri Lim Kang Hoo sambil diiringi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta yang lain sewaktu melihat replika Bandar Malaysia pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bandar Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 17 DISEMBER 2019.

PUTRAJAYA- “Saya berharap bangunan pertama atau fasa pertama projek Bandar Malaysia ini disiapkan secepat mungkin malah saya sendiri mengarahkan mereka segera memulakan pembinaan kerana mahu melihatnya dengan mata kepala sendiri. Dua puluh tahun lagi, saya sudah tiada di sini.”

Itu kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya bilakah fasa pertama projek pembangunan terbesar di pusat bandar Kuala Lumpur itu akan siap.

Projek selama 20 tahun di atas tapak Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Jalan Sungai Besi itu dihidupkan semula melalui Perjanjian Pemulaan Semula Kerangka Bandar Malaysia yang dimeterai hari ini disaksikan Mahathir sendiri bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Di bawah kerangka terbaharu ini, pihak pemaju perlu mematuhi beberapa syarat antaranya menyediakan 10,000 unit rumah mampu milik berbanding 5,000 unit sebelum ini.

Menurut Perdana Menteri, rumah-rumah berkenaan akan dibina di dalam kawasan Bandar Malaysia itu sendiri dan bukannya di lokasi lain yang tidak mampu menarik minat pembeli seperti sebelumnya.

“Kita mahu berkongsi pembangunan ini bersama-sama.

“Kita tidak mahu ianya hanya eksklusif kepada golongan kaya dan bagi membangunkan rumah-rumah mampu milik ini, sebahagian daripada kosnya mungkin disubsidi daripada projek pembangunan yang lebih mewah,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian di antara TRX City Sdn. Bhd. (TRXC) dengan IWH-CREC, sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Bhd. (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn. Bhd. (CREC).

IWH-CREC akan memiliki 60 peratus kepentingan dalam pemaju induk projek berkenaan, Bandar Malaysia Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat TRXC.

TRXC adalah syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Untuk itu, IWH-CREC perlu membayar RM7.41 bilion bagi memiliki 60 peratus kepentingan tanah yang bernilai RM12.35 bilion itu dalam tempoh tiga tahun berbanding tujuh tahun mengikut perjanjian terdahulu.

Konsortium itu juga perlu menjelaskan deposit sebanyak RM741 juta berserta pembayaran awal sebanyak RM500 juta.

Pembahagian dividen mengikut perjanjian terbaharu ini adalah 50 peratus milik konsortium dan 50 peratus milik TRXC (kerajaan) berbanding 60:40 sebelum ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, kerangka semula Bandar Malaysia itu mengambil kira dasar-dasar kerajaan yang mahukan projek pembangunan mega adalah bersifat rakyat di samping mampu menambah nilai besar kepada ekonomi negara sejajar dengan falsafah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Projek Bandar Malaysia juga katanya, mampu mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan perdagangan yang telah terjalin setelah sekian lama di antara Malaysia dan China.

Tambahnya, projek tersebut diharapkan dapat menjadi hab kepada syarikat-syarikat multinasional untuk mengembangkan operasi ke seluruh Asia Tenggara.-MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Tahniah DS Najib kerana telah membangunkan Bandar Malaysia..Medey dan kuncu2 dia tak tau malu nak claim..otak dah beku..dah tua tak de idea lagi

  2. Tahniah DSN, walaupun DSN tak ada. Tapi jasa ny asgt besar kepd Ngra.. Smoga Allah perlihara DSN.. Smoga Allah hncurkan mnusia yg tak pnah nk taubat atas perbuatan jahat nya.. Semoga Allah hncurkan pemerintahan yg menyusahkan rakyat n makan duit rakyat dan tipu rakyat.. Terutama hancurkan DAPig laknatullah.

Comments are closed.