KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendapatkan pasport beliau untuk sementara waktu supaya dapat menyelesaikan kes di Australia.

Muhammad Shafee memohon supaya pasportnya dipulangkan sementara bagi membolehkan beliau ke Perth mulai 21 sehingga 24 Disember ini atas satu urusan kerja penting.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Husin telah membenarkan permohonan Muhammad Shafee sambil merumuskan tidak ada elemen yang boleh membuktikan pemohon akan bertindak melarikan diri.

Muhammad Shafee bertindak mewakili dirinya sendiri manakala Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bagi permohonan itu hari ini.

“Setelah meneliti afidavit dan hujahan kedua-dua pihak saya bersetuju dengan pemohon bahawa tidak ada elemen untuk beliau melarikan diri.

“Saya memutuskan untuk membenarkan permohonan ini dan pasport miliknya perlu dipulangkan selewat-lewatnya pada 26 Disember sejurus selepas pulang dari Perth,” katanya.

Muhammad Shafee kini sedang berdepan dengan kesalahan menerima wang hasil kegiatan haram bernilai RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Peguam itu didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 Sept, 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Feb, 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau sehingga penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis, 2013 dan 31 Dis, 2014.

Beliau juga pada masa sama berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. –MalaysiaGazette