Stadium Sultan Ibrahim terletak di Iskandar Puteri, Johor.

KUALA LUMPUR – Peminat setia Johor Darul Ta’zim (JDT) kini boleh menarik nafas lega apabila stadium baharu kelab itu itu sudah bersedia untuk menganjurkan perlawanan Liga Super musim 2020.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kehormat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim iaitu Kapten Mohd Anizam Jamian.

Menurut Anizam, Stadium Sultan Ibrahim itu akan siap sepenuhnya pada 25 hingga 30 Januari 2020 iaitu kira-kira sebulan sebelum sepak mula musim baharu liga Malaysia.

Beliau turut yakin stadium baharu tersebut akan menjadi stadium yang hebat dengan kondisi padang yang terbaik.

“Rumput Zeon Zoysia di stadium kini berada dalam keadaan yang terbaik dan kami dalam peringkat akhir menjadi sebuah stadium yang hebat,” katanya di Facebook Johor Southern Tigers.

Sebelum ini, Malaysian Football League (MFL) mengesahkan sepak mula MSL pada 28 Februari 2020.

Ini kerana faktor prosedur rapi serta proses Economic Control Programme (ECP) yang mulai diimplementasi pada musim hadapan.

Bagi melaksanakan ECP, MFL telah mengadakan taklimat pertama kepada kesemua pasukan bertanding mengenai proses serta prosedur ECP di Hotel Tenera, Bangi pada 18 November lalu.

Tirai Liga Malaysia akan disingkap pada 28 Februari ini dengan perlawanan Sumbangsih yang menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan juara Piala FA, Kedah di Stadium Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette