Orang ramai mengambil kesempatan membeli-belah semasa jualan murah.

HASIL dapatan laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia cukup membimbangkan. Mengikut laporan ini, golongan millennial, yang merujuk kepada golongan muda berumur 25 hingga 44 tahun, di negara ini mencatat peningkatan membimbangkan dalam jumlah individu yang diisytihar muflis.

Secara ringkasnya, 60% daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia adalah dari golongan berkenaan, ekoran daripada tabiat berbelanja melebihi pendapatan. Ini menunjukkan golongan muda kita semakin leka dan memerlukan bimbingan yang sewajarnya dalam aspek pengurusan kewangan peribadi yang berhemat.

Pinjaman peribadi dan penggunaan kad kredit digariskan antara punca utama yang boleh menyebabkan golongan ini diisytihar muflis, jadi mereka perlu disedarkan tentang kaedah pengurusan kewangan yang bijak di samping hindari budaya bazir,
boros dan berbelanja melebihi pendapatan dan kemampuan.

Umum mengetahui umur 25 hingga 44 tahun adalah tempoh masa seseorang itu memulakan kehidupan dalam segala aspek. Inilah masanya golongan ini mula berkerjaya, memiliki kereta, mendirikan rumah tangga serta sudah memikirkan impian untuk memiliki rumah. Dalam masa yang sama komitmen wajib juga akan mengekori mereka iaitu bayaran balik pinjaman pendidikan, bantuan kepada ibu bapa dan ahli keluarga setiap bulan serta kemahuan untuk hidup bermewah.

Dalam keadaan baru memulakan kerjaya dengan gaji yang rendah, golongan ini cenderung untuk membuat pinjaman peribadi dan juga menggunakan kad kredit tanpa kawalan untuk
memenuhi tuntutan tujuan senarai perbelanjaan tersebut. Dan akhirnya mereka terperangkap dengan beban hutang yang tinggi yang perlu dibayar setiap bulan sehingalah diisytihar muflis.

Hal ini juga dapat dibuktikan melalui hasil laporan yang sama di mana satu daripada empat isi rumah di Kuala Lumpur memperoleh gaji bulanan kurang daripada anggaran paras kehidupan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu RM2,700 bagi individu tidak berkahwin, RM4,500 bagi pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua anak.

Ini menyebabkan, isi rumah dengan pendapatan di bawah paras berkenaan cenderung untuk mengambil pinjaman
peribadi dan kad kredit bagi menampung serta meningkatkan standard kehidupan masing-masing. Lebih mengeruhkan lagi keadaan apabila proses untuk mendapatkan kad kredit pula lebih mudah, sekali gus lebih ramai isi rumah yang beralih kepada
kad kredit untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Dalam masa yang sama sekelompok anak muda lagi pula suka boros dan membazir berpaksikan budaya biar papa asal bergaya. Mereka suka berbelanja mengikut nafsu dan keperluan melebihi kehendak. Akhirnya tidak dapat membayar balik pinjaman
peribadi dan juga hutang kad kredit yang semakin bertimbun.

Jadi mahu tidak mahu elemen pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan perlu diterapkan dalam diri setiap anak muda ini supaya mereka bijak membawa diri. Harus diingat umur 25 hingga 44 tahun adalah tempoh masa yang cukup kritikal
kerana inilah garis masa umur yang akan mematang dan mendewasakan mereka. Mereka akan memulakan hidup sendiri dengan berdiri di atas kaki sendiri melalui sumber pendapatan yang ada. Jadi jika silap langkah pada peringkat ini, dikhuatiri
ianya akan menghantui kehidupan mereka buat selamanya selepas itu.

Ada beberapa cara untuk kita memastikan anak muda ini diterapkan ilmu dan pengetahuan pengurusan kewangan terbabit dan ianya perlu melibatkan kerjasama dan komitmen beberapa pihak yang berkepentingan. Misalnya, bagi anak muda yang
belajar di universiti dan kolej, subjek pengurusan kewangan boleh dijadikan sebagai subjek wajib ketika berada di tahun akhir pengajian mereka.

Tanpa membebankan atau mengganggu gred pencapaian keseluruhan mereka, ianya boleh dijadikan subjek berbentuk pengetahuan dan kemahiran yang paling asas. Perkara penting di sini ialah bukan penilaian atau markah yang diperolehi tetapi peluang untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan tersebut secara formal dan betul.

Di samping itu kita juga perlu mendapatkan komitmen dan kerjasama daripada semua majikan baik sektor awam mahupun swasta dan korporat. Dalam konteks ini adalah dicadangkan pihak majikan menyediakan sesi kursus dan taklimat yang sewajarnya berkaitan ilmu dan pengetahuan pengurusan kewangan secara wajib kepada semua pekerja yang baru dilantik.

Sebagai contoh kursus ini boleh diselitkan dalam Program Transformasi Minda (PTM) yang perlu diikuti oleh setiap penjawat awam yang baru dilantik sebelum pengesahan jawatan masing-masing. Ironinya, pekerja baru dan muda ini perlu dibimbing dari peringkat awal lagi supaya memiliki ilmu, kemahiran dan pengetahuan yang baik dalam menguruskan gaji yang diterima dengan kadar perbelanjaan setiap bulan.

Ibu bapa juga boleh memainkan peranan yang signifikan dalam hal ini. Bimbing dan didiklah anak-anak yang baru memasuki alam pekerjaan, yang baru dapat merasa gaji sendiri untuk bijak menguruskan pendapatan tersebut. Ajar dan pujuk mereka
supaya tidak sewenang-wenangnya membuat pinjaman peribadi dan menggunakan kad kredit.

Laporan bahawa golongan muda suka membuat pinjaman untuk penggunaan peribadi dan bukannya untuk pelaburan dan pengumpulan kekayaan serta menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia untuk mempunyai lebih daripada satu kad kredit cukup merungsingkan kita. Ini satu sikap dan tingkah laku yang perlu ditangani dan diperbetulkan dengan segera sebelum nasi menjadi bubur.

Dan akhirnya sudah pasti kita berharap golongan muda itu sendiri lebih sedar dan tahu meletakkan kepentingan perbelanjaan mengikut keutamaan. Jangan kerana mudahnya mendapat pinjaman peribadi dan kad kredit kita pulun berbelanja tanpa
beringat serta lupa kesan dan akibatnya kelak. Ingat kita yang akan merana dan terbeban nanti.

Kita akui kehidupan pada hari ini memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi. Kenaikan kos sara hidup sememangnya sangat ketara namun pinjaman peribadi dan kad kredit bukan jalan penyelesaiannya. Tambahan pula saat getir seperti sekarang
eloklah kita kurangkan pembaziran dan boros sebaliknya sentiasa ukur baju di badan sendiri.

Semoga pendedahan hasil dapatan kajian ini akan membuka mata dan minda semua pihak terutamanya memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada golongan muda tentang betapa seriusnya isu ini dan ianya memerlukan tindakan pembetulan dan pencegahan yang sewajarnya dengan segera. Berbelanjalah secara bijak dan berhemat, elak keterhutangan yang serius dan jangan sampai diisytihar muflis. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, UPM