PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Rosli Ab Rahman merupakan antara 12 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata Rosli akan memegang jawatan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman.

Tempat beliau akan diisi Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim.

Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon II, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman ACP Mohd Faisal Yahya pula akan menjawat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak.

Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, JPJKK Bukit Aman ACP Aris Omar akan bertukar ke Bahagian Pentadbiran JPJKK sementara tempatnya diisi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang, ACP Abdul Ghani Ahmad.

Sementara Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman akan memegang jawatan sebagai Pengarah Keselamatan Gred KP 52, Universiti Malaya manakala Penolong Pengarah Siasatan dan Pemantauan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ACP Nor Fazid Ahmad sebagai Timbalan Ketua JPJKK (Operasi) Pahang.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah (Kepolisan Am) Timur Laut Pulau Pinang, Supt Izwan Abd Karim akan memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan KDNKA Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Arsad Kamaruddin akan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Hulu Selangor dan Supt (D9) Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman Supt Mohd Khairiel Mohd Arif sebagai Ketua Polis Daerah Jempol, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Sarawak, DSP Othman Sulaiman akan bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Lundu, Sarawak manakala Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Sarawak DSP Bingkok John sebagai Ketua Polis Daerah Sri Aman, Sarawak.

Kesemua pertukaran itu berkuat kuasa 20 Jan depan.

— BERNAMA