Rashford membuka jaringan dalam aksi suku akhir Piala Carabao bertemu Colchester United awal pagi tadi sebelum berjaya melangkah ke separuh akhir tahun depan

LONDON – Manchester City akan bertembung lagi dengan Manchester United dalam aksi separuh akhir Piala EFL Carabao selepas ini.

Selaku juara bertahan, skuad Noisy Neighbours kendalian Pep Guardiola akan berdepan semula dengan jirannya dalam usaha mempertahankan gelaran yang dimenangi dua musim lalu.

Dalam aksi 7 Disember lalu, kedua-dua pasukan itu bertemu dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad Stadium menyaksikan the Red Devils kendalian Ole Gunnar Solskjaer menjinakkan jiran itu 2-1.

Dalam aksi suku akhir awal pagi tadi, the Red Devils mudah menewaskan pasukan Liga 2, Colchester United 3-0 di Old Trafford.

Manakala Man City juga membelasah pasukan Liga Satu Oxford United 3-1.

Manakala dalam satu lagi perhitungan suku akhir semalam, Leicester City yang pernah menjulang gelaran EFL pada 1999-2000 menewaskan Everton 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat seri 2-2 selepas 90 minit di Goodison Park.

Aston Villa juga mara ke separuh akhir EFL selepas berpesta gol 5-0 ke atas pasukan muda Liverpool di Villa Park.

Kali terakhir Man United dan Man City bertemu dalam Carabao adalah pada pusingan keempat tahun 2016 yang mana keputusan 1-0 memihak kepada Red Devils.- MalaysiaGazette