Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Menteri Kewangan Lim Guan Eng menegaskan beliau belum meluluskan sebarang penjualan aset dan hartanah negara setakat ini.

Jelasnya, penjualan aset-aset negara yang dibuat sebelum ini dilaksanakan oleh agensi-agensi lain yang tidak mempunyai kaitan dengan kementeriannya.

“Pengesahan agensi penarafan kredit antarabangsa ke atas penarafan kredit berdaulat Malaysia pada paras A- atau A3 dengan unjuran stabil adalah bukti kukuh bahawa Kerajaan Pakatan Harapan bersifat berhemah dan telus dalam pengurusan fiskal kerajaan.

“Keyakinan badan dan pelabur antarabangsa mematahkan dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah memutarbelitkan fakta untuk menyebarkan maklumat palsu berkaitan kedudukan hutang dan liabiliti negara, termasuk fitnah bahawa Kementerian Kewangan menjual aset dan hartanah negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng turut mengumumkan nisbah hutang dan liabiliti kerajaan telah susut sebanyak 2.2 peratus kepada 77.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2019 berbanding 79.3 peratus yang direkodkan pada akhir 2017.

Jelasnya, prestasi baik itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha mengurangkan hutang dan liabiti.

Bagaimanapun, hutang langsung dijangka naik sebanyak RM52 bilion pada tahun ini untuk menampung perbelanjaan pembangunan yang telah diluluskan Parlimen pada 2018.

Kerajaan tambahnya, menyasarkan untuk menurunkan lagi nisbah hutang dan liabiliti kepada 65 peratus berbanding KDNK pada akhir 2025.

“Selain hutang langsung, kerajaan juga mempunyai komitmen jaminan yang perlu ditanggung dan dibiayai bagi melaksanakan projek infrastruktur pengangkutan awam dan utiliti.

“Ini adalah termasuk projek-projek infrastruktur mega seperti LRT3, MRT2 dan Lebuhraya Pan Borneo dengan kos keseluruhan yang melebihi RM75 bilion.

Di samping itu, jumlah jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibayai oleh kerajaan juga telah meningkat akibat skandal-skandal yang terbongkar selepas Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran.

“Misalnya, peningkatan komitmen Kerajaan sebanyak RM20 bilion adalah untuk menyelamatkan Tabung Haji demi melindungi kepentingan pendeposit selepas pihak juruaudit antarabangsa mendapati bahawa pengurusan terdahulu di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) telah memalsukan akaun Tabung Haji untuk menyembunyikan kerugian yang besar, dan membayar hibah yang tinggi walaupun tiada keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jadual 1: Nisbah hutang dan liabiliti berbanding KDNK

Komponen Akhir-2017 Akhir-Jun 2019
Hutang langsung 50.1% 52.6%
Jaminan Kerajaan yang ditanggung dan

dibiayai oleh Kerajaan

7.4% 10.4%
1MDB 2.8% 2.1%
Liabiliti lain (PPP, PBLT, PFI) 19.0% 12.0%
Jumlah 79.3% 77.1%

Sumber: Kementerian Kewangan

Tambah Guan Eng, kerajaan percaya sasaran defisit fiskal sebanyak RM52 bilion atau 3.4 peratus berbanding KDNK akan dapat dicapai.- MalaysiaGazette