KUALA LUMPUR – Polis sedang mencari dua remaja bagi membantu siasatan berhubung aktiviti meminta derma melalui media sosial.

Dalam satu kenyataan Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Mutimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman memaklumkan, dua individu yang dicara ialah Muhammad Amirul Iskandar Azhar Affandy dan Maizatul Farahanis Mior Mohd Patah yang masing-masing berusia 22 dan 20 tahun.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua remaja terbabit didapati menggunakan beberapa akaun bank untuk menerima sumbangan daripada orang ramai.

“Saspek dengan nama Encik Saiffudin dikenalpasti menggunakan media sosial untuk memuatnaik pelbagai gambar bayi dan kanak-kanak yang menghidap pelbagai penyakit kronik dan sedang memerlukan bantuan kewangan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, Muhammad Amirul beralamat akhir PPR Beringin, Jalan Miri Off Jalan Beringin, Kuala Lumpur manakala Maizatul Farahanis pula beralamat akhir di PPR Pekan Bati, Batu 5, Jalan Ipoh di sini.

Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama agar dua individu ini
hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan
Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular di laman sosial Facebook beberapa keping gambar menunjukkan gambar bayi dan juga kanak-kanak yang menderita penyakit kronik.

Beberapa akaun perbankan juga turut dipaparkan bersama dengan gambar tersebut bertujuan meraih simpati daripada orang ramai supaya menghulurkan derma bagi merawat penyakit yang dialami oleh kanak-kanak berkenaan.

Beberapa agensi media turut berkongsi maklumat berhubung perkara tersebut namun, timbul keraguan apabila nama yang digunakan pada semua akaun merupakan penama yang sama. – MalaysiaGazette