Ketua Pemuda Amanah, Hasnul Zulkarnain.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan pihak berkuasa keselamatan digesa supaya mengkaji semula peruntukan undang undang-undang terhadap pemandu mabuk di negara ini.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara dalam satu kenyataan berkata, langkah itu perlu disegerakan memandangkan insiden kemalangan pengguna awam yang tidak berdosa disebabkan sikap pemandu mabuk bertambah meningkat.

Kata Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, dalam kejadian kemalangan terbaharu awal pagi dua hari lalu, seorang penerbit sambilan Mohd Hezle Mohd Helan, 44, maut manakala anak lelakinya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki disyaki mabuk.

Kejadian dikatakan berlaku di Jalan Klang Lama hari ini dan sebelum ini, seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang maut selepas motorsikal ditunggangnya dirempuh pemandu wanita warga asing yang mabuk, berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, Georgetown.

“Satu kajian semula perlu dibuat untuk menyemak peruntukan dan hukuman undang-undang yang sedia ada terhadap pemandu mabuk,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepada kes-kes tersebut, kematian yang disebabkan oleh pemandu mabuk ini semakin membimbangkan.

Malah katanya, hukuman yang dikenakan pula adalah hanya penjara mandatori antara 3 hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000 meskipun kes melibatkan mangsa meninggal dunia.

“Antaranya peruntukan undang-undang yang harus dikaji segera dan ditambah baik adalah peruntukan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan melihat kepada hukuman yang lebih berat terhadap pesalah,” tegasnya.

Siasatan awal sebelum ini mendapati arwah sempat membuat liputan di Sukan SEA Manila 2019 manakala anak lelakinya berusia 9 tahun pata paha kanan dalam kejadian sekitar 1.05 pagi itu.

Kereta jenis Honda City yang dipandu arwah juga didapati terbakar ekoran kejadian itu sebelum maut di lokasi sama.-MalaysiaGazette