Jacob George

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta segera menangguhkan dahulu semua cadangan kenaikan yang diumum bakal dilaksanakan pada tahun 2020.

Sebaliknya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menilai semula kesempitan dan kesengsaraan rakyat yang terpaksa berdepan dengan isu kenaikan sara hidup walaupun isu ini masih gagal ditangani meskipun sudah hampir memasuki tahun kedua memerintah negara.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George berkata, tatkala banyak graduan masih sukar mencari pekerjaan, pekerja yang diberhentikan kerana kilang atau syarikat ditutup meningkat dan pengecilan operasi oleh majikan, rakyat pula ‘dihadiahkan’ pula dengan satu demi satu kenaikan.

“Apakah yang sebenarnya berlaku dalam ekonomi negara sehinggakan rakyat dibebani dengan isu-isu kenaikan secara serentak.

“Adakah Malaysia hampir muflis? Atau inikah slogan kerajaan mesra rakyat yang dilaung-laungkan Pakatan Harapan sebelum ini, ” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tegasnya, sedarkah kerajaan apabila satu demi satu kenaikan dibuat, Malaysia sebenarnya sedang menambah bilangan golongan rakyat miskin dan berpendapatan kecil (B40).

“Saya percaya kerajaan mahupun agensi-agensi terlibat berkaitan ekonomi tahu tentang impak negatif terhadap sebarang kenaikan cukai, harga dan perkhidmatan di Malaysia.

“Kerajaan juga tahu kenaikan gaji pekerja tidak seiring atau seimbang dengan kenaikan-kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” tambahnya.

Jelas beliau, golongan B40 akan terus bercambah kerana bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan tidak sepadan dengan kenaikan yang terpaksa juga diharungi oleh mereka.

Malah, golongan M40 di bandar juga semakin terhimpit dan terdedah menjadi golongan B40 kerana tidak mampu berdepan dengan kenaikan.

Oleh yang demikian, George berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menghentikan sebarang kenaikan yang hanya akan menyebabkan kesengsaraan rakyat.

“Seluruh kelompok rakyat marah dengan kenaikan harga petrol RON95, cukai, harga air dan sebagainya. Pelbagai persoalan timbul berhubung polisi-polisi kerajaan.

“Kenapa kenaikan berlaku serentak, apakah rasional kenaikan yang dicadangkan, apakah mekanisme yang digunakan bagi penentuan kenaikan dan sebagainya.

“Apakah tahun 2020, tahun kenaikan untuk semuanya?

“Perjelaskan dulu persoalan-persoalan ini,” katanya sambil mencadangkan kerajaan juga sepatut menilai pelantikan jumlah barisan Kabinet, lantikan politik dalam usaha bersama-sama berjimat andainya kerajaan mengalami masalah kewangan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Menteri Kewangan dengan bangganya menyatakan ekonomi bertambah baik tetapi hutang negara bertambah banyak dan pelbagai cukai & kenaikan harga Barang dan perkhidmatan.
    Mana dia Negara Berkebajikan?????
    Adakah Kerajaan PH hanya pandai berbohong dan main wayang?????
    Adakah Menteri Kewangan hanya pandai susun angka walaupun semua rakyat tahu hanya satu pembohongan (creative accounting)…?
    BUKAN makin senang bawah Kerajaan PH tetapi makin sukar.
    Budget pembangunan tahun 2018 dan 2019 tidak dibelanjakan, apa sebabnya?
    Macam mana urustadbir ekonomi jika TIDAK Ada penjanaan ekonomi berlaku?
    Jika kita kata Menteri kurang pandai, Marah pula tetapi apa semua ini?

Comments are closed.