Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap (tiga dari kiri) bersama Pengarah Pusat Sukan UTeM, Prof Madya Dr Mohd Sanusi Azmi (tiga dari kanan) dan pasukan UTeM yang telah berjaya mencatat kemenangan dalam MEC 2019 yang diadakan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mencatat kejayaan berganda di MASUM ESports Championship (MEC) 2019 yang telah diadakan baru-baru ini.

Pertandingan yang berlangsung di Ancient Galaxy ESports Hub, Melaka tersebut telah menyaksikan penyertaan daripada rangkaian institusi pengajian tinggi awam Malaysia.

“UTeM telah berjaya merangkul pingat emas apabila berjaya mendahului pasukan lain bagi pungutan mata terbanyak bagi kumpulan dalam kategori Pro Evolution Soccer 2019.

Pada masa yang sama sekaligus merangkul kedudukan ketiga terbaik MEC 2019 dan membawa pulang hadiah dan juga wang tunai sejumlah RM 1,100.00 bagi kedua-dua kemenangan tersebut.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim gembira atas penglibatan dan rangkaian kemenangan yang telah dicapai oleh kumpulan mahasiswa UTeM menerusi bidang e-sukan yang semakin membangun di Malaysia.

Jelas beliau, kejayaan tersebut turut membuktikan bahawa mahasiswa dari bidang kejuruteraan kini tidak hanya menyerlah dalam akademik semata-mata malahan turut berkepakaran luas dan punyai bakat dalam bidang e-sukan yang semakin berkembang pada masa kini.

“Program yang berlangsung selama tiga hari tersebut telah mempertandingkan tiga kategori utama iaitu Mobile Legends Bang Bang, Pro Evolution Soccer dan Dota 2 yang mana para pemenang menerima piala individu, trofi dan replika cek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap menyatakan e-sukan seperti PUBG, Mobile Legends, CS:Go tidak lagi dipandang sebagai perkara yang membazirkan masa namun dilihat sebagai cabang untuk memupuk semangat kesukanan dan melahirkan bakat-bakat e-sukan baru tanahair.

“Penawaran hadiah yang lumayan di samping penajaan hadiah dari pelbagai agensi dan syarikat korporat membolehkan e-sukan kini menjadi sebahagian dari cabang kerjaya yang bakal memberikan pulangan yang tinggi,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette