Watford berjaya melanyak Manchester United dalam aksi EPL semalam.

LONDON – Kelab tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Watford berjaya mengutip tiga mata penuh mencerahkan peluang keluar daripada zon penyingkiran.

Pasukan tuan rumah itu menewaskan Manchester United 2-0 dalam aksi malam tadi.

Berbekalkan sokongan penyokong di halaman sendiri, Watford masih tidak mampu membuka jaringan pada separuh masa pertama.

Walaupun the Red Devils di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer menguasai 65 peratus permainan, pasukan pelawat itu  gagal melakukan percubaan tepat sepanjang perlawanan berlangsung.

Nasib mereka bertukar tragedi apabila Watford membuka jaringan pada minit ke-50 menerusi kesilapan penjaga gol, David de Gea.

Sejak EPL bermula musim ini, de Gea penjaga gol adalah satu-satunya pemain yang melakukan kesilapan di depan gol.

Belum pun sempat bangkit daripada ketinggalan, Watford menambah gol kedua menerusi sepakan penalti oleh Deeney lima minit selepas itu.

Percubaan United untuk mencari gol menemui jalan buntu walaupun Paul Pogba yang lama tidak beraksi akibat kecederaan diturunkan lewat permainan.

United kini menghuni di tangga kelapan dengan 25 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.

Pengurus Watford, Nigel Pearson menyatakan keyakinan pasukannya boleh menjauhi zon penyingkiran dengan kemenangan kedua.

“Kami dalam keadaan kritikal ketika ini tetapi percaya akan mengharunginya dengan berjaya,” katanya selepas perlawanan di Vicarage Road. – Agensi