Saksi, Dr Abdul Aziz Hassan ketika hadir perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Abang kepada Allahyarham Nazrin Hassan menganggap isteri dan anak-anak adiknya berada di rumah ketika kebakaran berlaku pada 14 Jun tahun lalu selepas mengetahui terdapat sisa petrol di bilik utama kediaman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) itu.

Berikutan itu, Dr Abdul Aziz Hassan, 59 membuat keputusan untuk tidak lagi berhubungan dengan isteri Nazrin, Samirah Muzaffar selepas insiden tersebut.

“Bila dimaklumkan oleh bomba ada petrol, tindakan pertama saya adalah memutuskan segala perhubungan dengan Samirah. Saya block (sekat) nombor dia, saya mengambil keputusan biarkan pihak polis dan bomba membuat siasatan.

“Saya merasakan orang yang disyaki adalah orang di dalam rumah itu iaitu Samirah, anak-anak dan maid (pembantu rumah). Suspek utama Samirah dan anak-anak, jadi saya tidak mahu ada kaitan dengan suspek utama pembunuhan adik saya.

“Sejak itu saya tidak pernah menghubunginya,” katanya kepada Mahkamah Tinggi.

Kata Abdul Aziz, meskipun pada awalnya beliau sudah menerima kematian adik bongsunya dengan hati yang terbuka dan sering berhubungan menerusi Whatsapp dengan Samirah, namun apabila diklasifikasikan insiden tersebut mempunyai unsur jenayah, pendirianya berubah.

“Dalam tempoh hari kematian (Nazrin) sehingga diumumkan siasatan pembunuhan dilakukan, saya dan Samirah juga ahli keluarganya rapat seperti abang ipar membantu balu adik.

“Saya pada masa itu tidak memikirkan apa-apa melainkan adik saya sudah meninggal dunia, bagi saya kejadian telefon meletop susah dipercayai di dunia tapi saya terima dengan hati yang terbuka,” ujarnya.

Mengimbas hari kematian Nazrin sebelum menziarahi kubur kedua ibu bapa mereka, saksi ke-18 itu berkata, Samirah ketika ditemui di kediamannya di Mutiara Homes tidak menangis teresak-esak dan juga tidak meraung.

Bagaiamanapun tambah beliau, isteri adiknya itu kelihatan sedih.

“Samirah tidak tunjukkan emosi keterlaluan tapi dia nampak sedih.Tidak ada meraung, tidak ada menangis, tapi sedih,” katanya. -MalaysiaGazette